ARTIKEL SEBELUM

20/05/11

Ini senjata dan taktik untuk tawan semula Selangor ? ROS Hanya Kuda Tunggangan ?


Perintah telahpun dikeluarkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak – gunakan segala senjata dan taktik untuk tawan semula Selangor daripada tangan Pakatan Rakyat.

Begitu jelas mesej dan azam Najib. Ada yang menafsirkan perintah itu sebagai usaha membakar semangat ahli parti yang sudah berusia 65 tahun itu untuk bekerja keras menghadapi pilihanraya umum ke-13.

Ada juga yang membacanya sebagai petanda betapa Umno amat terdesak untuk menebus maruah yang tercalar pada pilihanraya umum Mac 2008 yang menyaksikan Umno-BN kehilangan kuasa memerintah di empat lagi negeri, tidak termasuk Kelantan.

Maka ramailah yang tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu apakah strategi politik yang akan digunakan Umno untuk menebarkan kembali sayap kekuasaannya di Selangor.

Namun tengah hari semalam terserlahlah apakah senjata baru yang mahu digunakan oleh pakar-pakar strategi Umno. Pada perkiraan Umno melalui strategi baru ini sudah tentu Selangor sebagai negeri paling kaya di Malaysia akan kembali ke pangkuan Barisan Nasional tanpa banyak susah payah.

Rupa-rupanya strategi Umno itu amat mudah. Sifirnya ialah, jika sukar sangat hendak menumbangkan Pakatan Rakyat, maka ia pun memilih untuk memastikan PKR, parti induk Pakatan yang mentadbir Selangor itu diharamkan terus dari memasuki gelanggang pilihanraya umum kelak! Bila tidak boleh bertanding, bagaimana PKR hendak menyambung kelangsungan pemerintahan di Selangor?

Dalam rencana mega umno ini, pusar strateginya ialah lumpuhkan PKR. Justeru itu, pendekatan yang cuba diambil Umno ialah haramkan terus PKR daripada muka bumi politik Malaysia.

Bila tiada PKR, lemahlah Pakatan Rakyat; bukan sahaja di Selangor, malah di seluruh negara. Umno berharap apabila dalam Pakatan Rakyat hanya tinggal gabungan PAS dan DAP sahaja, adalah lebih mudah merobek kerjasama dan perpaduan gagasan berkenaan. Jika ini berlaku, Umno juga berharap sentimen agama dan perkauman boleh terus dipermainkan untuk meretakkan perpaduan Pakatan Rakyat.

Namun seperti lazimnya, strategi Umno ini amat mudah dibaca rakyat. Ini kerana seperti lazimnya juga Umno sebuah parti yang “kurang rajin” berusaha sendiri untuk melaksanakan strategi politiknya.

Sebagai sebuah parti yang berpaksi kepada nafsu materialisme, Umno lebih selesa menggunakan (atau salahguna) kuasa pemerintahan yang dimilikinya serta kekayaan wang ringgitnya untuk “membeli” khidmat pihak lain melaksanakan program dan strateginya.

Dalam hubungan ini Umno menggunakan strategi serampang dua mata. Pertama, semarakkan kekacauan dalam PKR dengan memancing beberapa pemimpinnya meninggalkan perjuangan parti itu. Matlamatnya ialah, untuk memperlekeh kematangan dan kepemimpinan PKR.

Serentak itu maruah dan kewibawaan pemimpin tertinggi PKR cuba diracuni dan dicalar wibawanya. Kes video seks yang cuba dikaitkan dengan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kes tuduhan liwat oleh oleh beks pembantunya, Saiful Bukhari Azlan terus diperbesarkan oleh media penyokong Umno.

Bagaimanapun apabila kedua-helah politik ini nampaknya diterima hambar oleh rakyat, Umno tiada pilihan selain mencari jalan supaya PKR diharamkan dan langsung tidak boleh bersaing dalam pilihanraya umum ke-13!

Dalam skim politik terbaru Umno ini, Pendaftar Pertubuhan (ROS) secara tiba-tiba berusaha memansuhkan PKR berasaskan apa yang dipercayainya peruntukan perlembagaan parti yang direkayasa

Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Pendaftar Pertubuhan memberi notis untuk membatalkan pendaftaran PKR mulai 9 Jun depan kerana kononnya memecat seorang ahli tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Displin parti. ROS merujuk kes pemecatan Rajagopal a/l

Andaikkalam sebagai bercanggah dengan peruntukan 32.2.1 perlembagaan PKR.

Anehnya, kata Saifuddin, peruntukan yang dirujuk ROS itu tidak ada dalam perlembagaan parti. Yang ada cuma fasal 32 “yang tidak langsung berkaitan dengan isu displin dan Lembaga Displin”.

Fasal 32 itu hanya menetapkan bahawa Majlis Pimpinan Pusat mempunyai kuasa muktamad menyelesaikan sebarang pertikaian mengenai tafsiran perlembagaan atau peraturan tetap mengenai kongres parti, kata beliau.

Seperkara lain yang tidak kurang anehnya berhubung tindakan ROS ini ialah, ahli yang dinamakan sebagai Rajagopal dalam notis ROS itu juga tidak wujud.

Saifuddin berkata ahli yang dipecat oleh PKR adalah Jayagopal. Beliau disingkir pada 27 April 2009 oleh MPP kerana bertanding sebagai calon bebas, menentang partinya sendiri pada pilihanraya kecil Bukit Selambau, Kedah.

Saifuddin menyifatkan notis ROS itu “aneh” dan menggambarkan cubaan terbaru mensabotaj penyertaan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang dipercayai akan berlangsung tidak lama lagi.

Sementara itu Ahli Parlimen Subang yang juga seorang peguam, Sivarasa Rasiah menegaskan pemecatan anggota parti kerana melanggar disiplin adalah hal dalaman PKR dan tidak ada kena mengena dengan ROS.

Difahamkan ini adalah kali pertama ROS menggunakan alasan yang kurang matang seperti itu dan bersandarkan fakta yang salah pula untuk membubarkan sesebuah parti politik di Malaysia.

Sesungguhnya percubaan membatalkan pendaftaran PKR ini memang aneh. Ketidakcekapan dan kurang teliti ROS ini menyerlahkan kemungkinan notis pembatalan pendaftaran PKR ini mungkin dilakar oleh pegawai kurang pengalaman menapis arahan daripada kerajaan. Atau, ROS sendiri mungkin kurang “redha” melaksanakan arahan seperti itu.

Sekaligus kelemahan ROS ini mengingatkan kita betapa sudah lebih setahun permohonan dibuat untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai satu entiti politik. Namun hingga kini masih belum diberikan penilaian dan jawapan muktamad. Apakah Umno-BN akan menambah sebuah lagi “parti” dalam barisannya ? -tvs

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud