KUALA LUMPUR: Polis menahan wartawan serta jurugambar KeadilanDaily pada kira-kira jam 10.30 pagi ini sewaktu membuat liputan di KL Sentral.
Mereka berada di sana menghadiri sidang media program Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat berkomuter dari KL Sentral ke Seremban pagi ini. Program itu dianjurkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
Turut sama ditahan adalah seorang jurugambar dari TV Selangor.
Jumlah kesemua yang ditahan adalah 11 orang – tiga wartawan dan lapan orang pelajar.
Menurut Zhafir yang sempat menghantar SMS kepada KeadilanDaily.com, polis merampas kad pengenalan mereka sebaik sahaja sidang media program itu selesai.
“Polis merampas kad pengenalan wartawan dan mahasiswa sebaik sahaja sidang media selesai,” kata Zhafir.
Menurut wakil SMM, Ahmad Shukri pula, mereka tidak berbuat apa- apa yang mendatangkan bahaya kepada orang awam sehingga perlu ditahan.
“Kita tak buat provokasi, kita cuma berkumpul untuk ke destinasi. Tiada risalah, mahu pun sepanduk sewaktu kami ditangkap,” kata Shukri.
Kesemua mereka kini dilapor dibawa ke Balai Polis Jalan Travers.