ARTIKEL SEBELUM

24/02/11

Speaker pohon ketepi keputusan kerusi P Klang



Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim, telah memfailkan permohonan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Jumaat lepas yang mengekalkan kedudukan Badrul Hisham Abdullah sebagai Ahli DUN Pelabuhan Klang.

Writ itu difailkan menerusi Tetuan Tommy Thomas di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam semalam.

Dalam afidavit menyokong permohonannya, Teng, 48, berkata beliau mengalami ketidakadilan yang terlampau akibat penghakiman ingkar tanpa hujahan oleh peguamnya.

Cara pendengaran kes dilakukan khususnya atas dasar 'ex-parte' (sebelah pihak) sama sekali tidak adil, katanya.

Pada 18 Februari lalu, Hakim Datuk Zaleha Yusof memutuskan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang tidak kosong dan Badrul Hisham kekali sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Zaleha membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar hujahan saman pemula Badrul Hisham terhadap Teng yang mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN itu berkuat kuasa 16 Jan lalu.

Zaleha juga memerintahkan Teng membayar kos sebanyak RM40,000.

Speaker DUN Selangor itu mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang berikutan kegagalan Badrul Hisham menghadiri sidang Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah.

Badrul Hisham kemudian memfailkan saman pemula 24 Jan lalu bagi memohon deklarasi bahawa beliau masih menjadi wakil rakyat bagi kawasan Pelabuhan Klang dan mempunyai hak untuk menghadiri persidangan DUN Selangor.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa kerusi tersebut tidak kosong.

Teng memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu pada 11 Feb lalu dengan alasan selaku Speaker DUN negeri, beliau memiliki kekebalan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan daripada sebarang tindakan undang-undang.

- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud