ARTIKEL SEBELUM

3/02/11

Pakatan Rakyat untuk menawan Johor dalam PRU 13 hanya angan-angan Mat Jenin.

ANALYSIS

PETALING JAYA: Kenyataan paling ketara dari pilihanraya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang ialah PAS tidak mempunyai masa depan di negeri tersebut dan dijangka amat sukar untuk menambah dua kerusi yang ada ketika ini.

Majoriti 3,707 undi kekalahan calon PAS Normala Sudirman kepada Mohd Azahar Ibrahim dari Umno seharusnya melenyapkan sama sekali impian PAS untuk menawan Johor.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan harapan Pakatan untuk menawan Johor dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang hanya angan-angan Mat Jenin.

Kini terbukti keyakinan pemimpin PAS khususnya bahawa parti itu akan merampas semula Tenang pada pilihan raya umum sekadar untuk menyedapkan penyokong mereka sahaja.

Kekalahan 3,707 undi dalam PRK Dun bukan satu angka yang kecil. Faktor hujan lebat dan banjir pada hari pengundian jika diwar-warkan punca kekalahan Normala ia hanya kerana enggan menerima kemenangan BN.

Peratus keluar mengundi ialah 67 peratus berbanding 73.52 peratus pada pilihan raya umum 2008.

Realitinya rakyat Tenang menolak PAS – parti seratus peratus orang Melayu seperti Umno. Mereka menolak PAS kerana Umno lebih baik dari parti Islam itu.

Johor bumi Umno

“Johor bumi Umno,” kata seorang pengundi yang ditemui berhampiran pejabat operasi PAS di Labis pada hari mengundi, Ahad lalu.

“Hanya orang Melayu Johor yang kecewa sahaja yang tidak menyokong Umno. Saya tidak nampak PAS boleh menang di sini sampai bila-bila pun.

“Orang Cina mengundi Normala bukan kerana PAS tetapi kerana DAP rakan PAS dalam Pakatan Rakyat. PAS tidak boleh melakukan apa -apa secara sendirian, PAS boleh bertanding tetapi tidak akan menang,” katanya lagi.

Seorang pengundi yang ditemui di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Labis memberitahu pengundi Cina mengundi PAS kerana mempercayai pemimpin DAP yang lebih menyerlah dalam Pakatan.

Katanya, sukar untuk pengundi Cina menilai keikhlasan pemimpin PAS dalam Pakatan kerana pendirian mereka yang tidak pernah tetap, termasuk dalam isu penubuhan negara Islam.

PAS tidak boleh menembusi pengundi di kalangan peneroka Tenang. Akibatnya undi peneroka untuk Mohd Azahar tetap kekal seperti sebelumnya.

Ringkasnya dalam PRK Tenang ini PAS hanya menang di kalangan pengundi Cina iaitu di bandar Labis Tengah. PAS mendapat 1,233 undi berbanding Mohd Azahar cuma 365 undi.

Manakala pengundi Melayu yang menjadi kekuatan PAS sudah kembali ke pangkuan Umno.

Tsunami PRU 2008 yang membolehkan PAS menang dua kerusi Johor tidak mungkin berulang lagi.

Jadi untuk mengatakan PAS akan menawan Johor dalam PRU akan datang ia hanya perbualan kosong. PRK Tenang ini telah menjadi kayu pengukur bahawa masa depan PAS sama seperti dulu – gelap.- FMT

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud