ARTIKEL SEBELUM

3/02/11

Dr M Diminta Muhassabah Diri dan bertaubat




Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menggesa mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad segera melakukan muhasabah diri dan bertaubat sebelum melabelkan seorang alim ulama sebagai teruk.

Menurut Abdullah,tindakan Mahathir menyerang keperibadian Nik Aziz dengan mengatakan pemimpin yang terkenal dengan panggilan Tok Guru itu sanggup melonggarkan ajaran Islam di negara ini hanya kerana berkongsi landasan dengan Pakatan Rakyat untuk menyebarluaskan ajaran Islam, adalah tidak wajar sama sekali.

Ulasnya, kenyataan Mahathir itu tidak ubah menggambarkan ketakutan beliau terhadap kehancuran yang dilakukan pada zaman pemerintahannya.

" Mahathir sekarang ini diberitakan kehidupannya dalam ketakutan kerana keretakan perpecahan dalam perpaduan Melayu itu berpunca daripada zaman beliau.

" Sedangkan Tuan Guru Nik Aziz itu seorang ulama. 21 tahun menjadi menteri besar. Tidak pernah sekali pun menukar watak dirinya termasuk kekayaan, (atau) memunggah kekayaan rakyat, tidak pernah dalam agendanya," kata Abdullah.

"Bagi saya Dr Mahathir ini sudah kehilangan masa lampau beliau. Kalau kita hendak katakan nyanyuk pun boleh. Sudah tidak ada berlaku lagi dua imam, kenduri tidak pergi, dalam erti kata lain, beliau telah pun diangkat kembali ke zaman silamnya. Apa yang berlaku, kerana beliau yang melahirkan itu," tambah beliau.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Mahathir sebagai berkata, Nik Aziz hatta mungkin sanggup membelakangkan agama jika dinasihatkan oleh DAP berbuat demikian kerana menyifatkan Islam nasionalis sebagai teruk.

Mahathir mengaitkannya dengan komentar Nik Aziz yang berkata, masyarakat Melayu Islam di negara ini yang menolak ajaran Islam lebih teruk berbanding mantan perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

" Orang Melayu sini pun tolak Islam, tolak Islam ambil kebangsaan lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

"Beliau cakap jangan pegang (Islam) kuat sangat, orang ini kata buang semua ambil kebangsaan, lebih teruk daripada Lee Kuan Yew," katanya Nik Aziz.

Bertindak seperti hero untuk mempertahankan orang Melayu, Mahathir terus masuk ke gelanggang dan menyifatkan Nik Aziz bersetuju dengan kenyataan Kuan Yew dalam buku tulisannya yang berjudul "Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going".

Namun menurut Abdullah Sani, Mahathir perlu mengimbau kembali apa yang dilakukannya terhadap orang Melayu Islam di negara ini sehingga berlakunya perpecahan sebelum melatah terlalu cepat.

" Zaman dia sekolah agama rakyat ditarik hak mereka.Segala bentuk keagamaan, semua dicantas. Kita kena ingat, tunggang langgang ibu bapa lari, hendak hantar anak sekolah sebab masa itu sekolah agama rakyat dikatakan tidak ada masa depan.Dia yang buat. Biadapnya dia mempertikaikan agama itu sebagai satu ilmiah untuk kita mempertahankan rakyat madani ini.


" Cukuplah apa yang Dr Mahathir buat. Cukuplah. Kalau umur sudah sampai Isyak itu, saya harap jangan sampai subuh. Saya takut esok mentari tak sampai. Kita jadi terpinga-pinga, dosa yang kita buat tidak terampun kalau kita menyakitkan hati orang.

Ujarnya, sebelum menuduh Nik Aziz yang mengakibatkan punca perpecahan masyarakat Melayu Islam, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah lama wujud sebelum Umno.

Malah ketika itu semua parti di tanah Melayu diharamkan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1948, yang dibenarkan hidup hanya Umno.

Justeru terbukti, kewujudan Umno ketika itu memecah belah perpaduan Melayu dan menjadi alat penjajah untuk melawan sesama sendiri.

Malah katanya, Mahathir juga perlu ingat apa yang dilakukannya pada tahun 1993 apabila kuasa Raja-raja Melayu dipinggirkan oleh beliau.

Tambah Abdullah, Mahathir juga tidak perlu berbangga dengan pembangunan yang dibawa oleh pemimpin nasionalis di negara ini dan memperlekehkan ilmuan seperti Nik Aziz,sedangkan rakyat di bawah terpaksa menanggung derita.

" Selama ini hendak tanya, pembangunan yang ada ini bolehkah rakyat menikmati pembangunan yang ada ini? Setakat hidup menjadi papa kedana, barang naik. Rakyat hidup melarat, inikah yang dia hendak cari?

Sementara itu, ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, Mahathir adalah punca sebenar perpecahan orang Melayu di negara ini.

" Kedatangan Umno memecahbelahkan umat Islam di Malaysia. Sebelum Umno wujud, umat Islam ini bersatu di bawah prinsip Islam tetapi selepas adanya Umno yang dicipta oleh orang putih, maka umat Islam mula berterabur, satu menyokong Islam dan satu lagi menyokong perjuangan rasis, perjuangan nasionalis Melayu, perkauman Melayu. Jadi kalau Mahathir masih lagi berfikiran demikian, beliau memang nampaknya sudah ketinggalan zaman.

Malah ujar Nizar, lantaran terlalu berpegang kepada semangat nasionalis itu, Mahathir menganggap Nik Aziz sebagai seteru politiknya walhal apa yang dibawakan oleh PAS ialah ajaran Islam yang sepatutnya turut diterapkan dalam Umno itu sendiri.

" Sebab itu dia tidak boleh secucuk dengan perjuangan PAS dan perjuangan Keadilan sebab Keadilan ini ia tidak mengenal warna kulit, tidak mengenal pihak assbiyah atau bersuku-suku.


" Dr Mahathir kena ingat, bahawa banyak perkara-perkara yang PAS tegur dan Umno akhirnya terpaksa berhenti dari membuat perkara yang jauh lebih mungkar.Kita ambil contoh Umno meluluskan lesen judi yang jelas perkara itu haram, dan PAS serta rakan-rakan menegur.Ini pencapaian-pencapaian yang Dr Mahathir tidak nampak di samping meningkatkan nilai-nilai murni orang Islam," tambah Nizar lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, walaupun Mahathir mentadbir Malaysia lebih 20 tahun, Umno gagal mendidik tentang lunas-lunas Islam bukan sahaja kepada masyarakat Melayu Islam yang berada dalam Umno mahupun parti komponennya.

Jelas Nasharuddin, contoh paling jelas ketika di kempen pilihan raya kecil di Tenang, apabila isu bersalam calon PAS, Normala Sudirman dijadikan sebagai kempen MCA.

" Umno telah gagal untuk memainkan peranan dia sebagai sebuah kerajaan yang memerintah, parti yang dikatakan dominan dalam Barisan Nasional, parti milik orang Melayu tetapi dalam hal yang berkaitan dengan Islam, tidak berjaya mengetengahkan ajaran Islam yang sebenarnya sehingga ajaran yang asas dalam Islam tidak difahami, bukan sahaja parti komponen Barisan Nasional tetapi termasuk rakyat secara umum.

" Ini hujah ketinggalan zaman yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang tokoh, ini hujah orang kampung. Maknanya rendah sangat martabat Dr Mahathir ini untuk membawa isu ini sebagai hujah," kata Nasharuddin lagi.- tvs

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud