ARTIKEL SEBELUM

20/02/11

Orang Melayu kena tegak Islam bukan Ketuanan Melayu, kata Hadi

















SHAH ALAM : Nasib orang Melayu di negara ini akan terbela sekiranya berpegang teguh kepada ajaran Islam dan bukannya berteraskan prinsip ketuanan Melayu ciptaan Umno-BN, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jelasnya, dalam Islam tidak pernah ada konsep Ketuanan Melayu yang dilaungkan Umno selama ini.

“Kalau orang Melayu nak selamat, mesti tegakkan Islam baru selamat.

“Kalau tegakkan Melayu memang tak selamat,” ujar Hadi pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS hari ini.

Menurut Hadi, Islam diturunkan Allah SWT sebagai amanat kepada orang Melayu.

“Islam namakan kepimpinan sebagai amanat, sebab itu kepimpinan Islam tidak amalkan konsep menghambakan orang.

“Selain itu, kepimpinan Islam tak semestinya didokong hanya orang Islam, Islam tidak fokus hanya kepada kaum tertentu sahaja,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata Pakatan Rakyat perlu membuat satu pendirian tetap sama ada mahu berhadapan dengan Umno atau mengelak berhubung isu Ketuanan Melayu.

Katanya, isu Ketuanan Melayu telah digunakan Umno semata-mata mahu mendapatkan sokongan orang Melayu.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, Umno menggunakan isu Ketuanan Melayu dengan harapan sokongan orang Melayu terhadap PAS dan PKR akan terhakis.

“Kita perlu pilih satu, di persimpangan dua jalan, sama ada berhadapan secara terus dengan Umno dan menyelesaikan perkara ini ataupun mengelak.

“Kedua-duanya boleh kita gunakan, kerana keputusan pilihan raya umum di tangan rakyat, kita mahu tidak mahu kena pilih,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS.

Jelas Saiduddin, isu Ketuanan Melayu semakin hangat diperkatakan kerana keputusan pilihan raya umum lalu didakwa mengahakis kuasa politik Melayu.

“Golongan yang paling lantang memperkatakan isu Ketuanan Melayu adalah dari kelas pertengahan Melayu, sekali gus turut menjadi wakil kepada kelas bawahan.

“Selain itu, kumpulan-kumpulan ultra-Melayu pula tumbuh seperti cendawan selepas hujan turut menyumbang kepada pola pengundian ini,” katanya.

Saifuddin juga menegaskan tugas Pakatan Rakyat sekarang adalah untuk menerangkan kepada orang Melayu bahawa gabungan tiga parti itu akan terus mempertahankan hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu bebaskan minda orang Melayu yang dikongkong oleh Umno, oleh itu kita kena bertindak sekarang, kerana belum tentu undi kita bertambah nanti,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud