LABIS: PAS memberi tempoh 24jam kepada Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong supaya untuk membuktikan calon mereka, Normala Sudirman mempersoalkan tindakan seorang peniaga berbangsa Cina menjual arak di kedainya baru-baru ini.
Normala ketika ditemui berkata, Tee Yong digesa menyatakan tempat, masa dan individu yang terlibat bagi membuktikan kejadian tersebut benar-benar berlaku.
“Sekiranya beliau gagal sehingga jam 12 tengah hari esok, kami akan mengambil tindakan undang-undang kerana membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap saya.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya telah mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana perkara tersebut tidak pernah berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di pekan Labis pada Isnin.
Semalam, akhbar Cina melaporkan Tee Yong mendakwa Normala mempersoalkan tindakan seorang peniaga Cina di Labis menjual arak di kedainya ketika kempennya bertemu orang ramai.
Mengulas lanjut, Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala mendakwa wakil rakyat parti komponen Barisan Nasional itu sengaja melancarkan serangan peribadi untuk menjejaskan imejnya sebagai wanita Muslim.
Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan tuduhan tersebut berniat jahat untuk membangkitkan keresahan dan ketakutan kalangan masyrakat Cina.
“Kita cabar Tee Yong menyatakan dimana, bila dan kedai yang terlibat yang mendakwa calon kita bercakap sedemikian terhadap peniaga Cina tersebut bagi merungkaikan isu berbangkit ini,” katanya. -mstar