ARTIKEL SEBELUM

4/01/11

 Pak Lah tak perlu sibuk satukan Umno dan PAS

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Bekas Perdana Menteri, Tuan Abdullah Haji Ahmad Badawi diingatkan agar tidak sibuk dengan usaha untuk menyatukan Umno dan PAS, tetapi lebih baik menumpukan perhatiannya kepada usaha untuk membaiki imej Umno dan BN sendiri yang semakin teruk kini.

Permasalahan yang berlaku dalam BN sendiri, ternyata gagal diselesaikan oleh para pemimpin BN sejak dulu dan ia pasti menjadi bertambah rumit jika para pemimpinnya lebih sibuk dengan usaha untuk menyatukan Umno dan PAS, daripada usaha untuk membaiki parti itu sendiri.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, salah satu contoh jelas termasuklah permasalahan yang berlaku dalam MIC yang telah ditinggalkan oleh Datuk Seri S Samy Velu, tetapi kini ternyata masih gagal ditangani dengan baik oleh para pemimpin BN.

Menurut beliau, jadi tentulah lebih elok jika Pak Lah dan pemimpin Umno BN lain menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam parti-parti komponennya telebih dahulu untuk membaiki prestasinya, daripada memberikan perhatian kepada Pakatan Rakyat.

"Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh Pak Lah. Beliau sepatutnya menjadi ikon dalam BN untuk membaiki parti itu sendiri, bukannya sibuk nak satukan Umno dan Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, semasa menjadi Perdana Menteri dahulu, Pak Lah telah berjaya menubuhkan SPRM dan akta-aktanya, tetapi kini beliau tetap gagal memainkan peranan supaya penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak memanfaatkannya dengan baik.

"Jadi, Pak Lah sepatutnya lebih vokal dalam hal untuk memerangi rasuah. Apa makna akta SPRM yang diwujudkan itu jika tidak dilaksanakan?" katanya.

Penubuhan SPRM, katanya, hampir 100 peratus disokong oleh Pakatan Rakyat dan ia pasti akan memberikan manfaat besar kepada rakyat dan negara jika para pemimpin Umno BN memberikan perhatian seris dalam usaha memerangi rasuah di tanah air.

"Tetapi apa yang berlaku, 18 kes berprofil tinggi masih juga belum disiasat hingga sekarang. Orang yang didapati bersalah, masih juga memegang jawatan penting dalam kerajaan termasuk kabinet.

"Terbaru, orang yang sudah didapati bersalah dan terbabit dengan rasuah, juga turut diberikan tanggungjawab untuk memainkan peranan penting dalam Felda.

"Jadi, di manakah duduknya Pak Lah dalam semua itu? Itulah antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh Pak Lah. Jika tidak, sia-sialah usahanya dulu sehingga tertubuhnya SPRM," tegasnya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud