ARTIKEL SEBELUM

24/01/11

Khalid: Pindaan beri ruang konsultasi dalam urusan lantikan SUK

January 24, 2011

S


SHAH ALAM, 24 Jan — Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan pindaan perlembagaan dibawa bagi memberi ruang konsultasi melibatkan kesemua pihak — istana, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mahupun kerajaan negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka.

Pindaan ini dibawa ekoran kemelut pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa 1 Januari ini.

“Pakatan Rakyat ingin mengembalikan peruntukan yang asal kerana kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak; baik istana, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mahupun kerajaan negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka,” kata beliau ketika membentangkan usul pindaan perlembagaan negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Sehubungan itu kata Menteri Besar, kerajaan negeri yakin bahawa tatkala ia mempunyai hak untuk menasihatkan Sultan ia juga sedar bahawa kedudukan berkecuali dan profesional perlu diberi peluang.

“Dalam pada itu kami juga sedar bahawa Duli Tuanku sebagai Sultan yang begitu lama dan berpengalaman sebagai Raja Muda — yang paling lama dalam sejarah negara, sebelum memegang tampuk pemerintahan negeri.

“Pastinya DYMM Tuanku mempunyai input untuk diberi dalam soal perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata Khalid.

Khalid menambah, inilah perkongsian pintar yang bukan sahaja selaras dengan kehendak pengurusan ekonomi semasa tetapi juga selaras dengan kehendak perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan asasi dalam negeri.

Katanya, jika dilihat pada pindaan yang dibuat oleh Umno pada 1993 — yakni Perkara 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, ia kelihatan begitu ganjil.

“Saya katakan demikian kerana ia tidak menyebut pihak berkuasa yang diberi kuasa melantik.

“Sepatutnya ada kuasa tertentu yang diperuntukkan, contohnya sama ada Sultan atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,” katanya.

Khalid berkata, perkara tersebut “cukup ganjil” tetapi begitulah hakikatnya dan tidak dapat menolak ia terjadinya begitu kerana tindakan yang gopoh dan tergesa-gesa.

“Cuba bandingkan dengan pelantikan yang sama di peringkat persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 144, khususnya Fasal 3, 4 dan 5 yang ada sekarang yang kesemua mempunyai format yang sama dengan peruntukan yang lama dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

“Apa-apa pun, gopoh mahupun tidak, kita berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1993 itu tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Malah Khalid berkata, kerajaan negeri juga berpendapat bahawa masalah yang cuba diselesaikan oleh Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 adalah menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri tidak harus disentuh.

Tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja bersetuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu adalah imuniti.

“Kelihatannya Umno menggunakan kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang gusar dan membingungkan ketika itu,” katanya.

Khalid menambah kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undang-undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu ejen semak dan imbang dalam perlembagaan.

“Kami percaya bahawa konsep Raja Berperlembagaan bermaksud raja yang kuasa mereka terbatas dan dipandu oleh peruntukan dan semangat Perlembagaan.

“Umno berpendapat sebaliknya; nampaknya bagi mereka, Raja Berperlembagaan ialah raja yang boleh dicucuk hidung dan diseret ke sana ke sini mengikut kehendak mereka sebagaimana yang mereka lakukan sejak awal 1980-an hinggalah sekarang,” katanya.

Kata Khalid, pengajaran yang boleh diambil daripada keseluruhan episod semasa ialah jika pelantikan Setiusaha Kerajaan Negeri, Pegawai Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri tidak dilakukan secara telus, ia boleh diputarbelitkan oleh banyak pihak sama ada daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kerajaan di istana dan di pejabat Menteri Besar atau Perkhidmatan Awam yang tiada urusan kerja dalam hal penempatan pegawai kerajaan.

“Menyedari hakikat ini, Pakatan Rakyat tidak akan meneruskan amalan yang ternyata bercanggah dengan amalan Pakatan Rakyat, yakni bertindak secara telus, kompeten dan penuh pertanggungjawaban dalam apa-apa hal dan modus operandi pentadbiran negeri.

“Saya tegaskan di sini, meskipun kerangka Perlembagaan kita menyebelahi kerajaan persekutuan saya yakin bahawa sekiranya ia dibenarkan beroperasi dalam semangat demokrasi, mungkin negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat boleh melaksanakan pentadbiran dengan baik.

“Malangnya, ini tidak berlaku dan semangat federalisme yang dikandung oleh Perlembagaan dilanggar secara terang-terangan,” katanya lagi.

Khalid menambah, pindaan kali ini adalah tanda komitmen Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri berdaulat ini menurut aspirasi dan amanah yang diberikan rakyat bertunjangkan konsep keihsanan dan kepedulian rakyat.

“Rakyat Selangor tidak meminta lebih. Mereka hanya mahu hak mereka sebagai rakyat negeri yang menyumbangkan 30 peratus kekayaan negara Malaysia,” katanya. TM insider

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud