SHAH ALAM 11 DIS : Pembaziran terhadap projek mewah menjadi punca kepada berkurangnya dana rizab negara yang akhirnya rakyat perlu menerima akibatnya,tegas Ketua Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasruddin Tantawi.
Sebelum ini Pemandu telah mencadangkan kepada kerajaan agar cukai ke atas minyak akan dikenakan kepada pengguna dalam usaha mengurangkan subsidi terhadap bahan api.
Bercakap kepada TV Selangor, Nasruddin menjelaskan pemotongan subsidi yang menjadi punca kenaikan minyak dan barangan tidak patut berlaku jika dana negara diurus baik dan tidak membazir.
"Cadangan untuk cukai pun pada saya isu sebenarnya bukan kepada cukai,isunya saya lihat dalam negara kita terlalu banyak projek-projek mewah dan juga projek yang membazir yang dilakukan oleh kerajaan yang sepatutnya dimansuhkan supaya dapat menjimatkan dana negara," katanya.
"Persoalannya sekarang ialah dana negara telah merosot kerana telah hangus dalam projek-projek mewah dan membazir yang tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat," katanya lagi.
Jelas Nasruddin lagi, subsidi adalah hak rakyat dan patut dikembalikan semula kepada rakyat.
"Isu yang paling besar ialah kerajaan sebenarnya tidak boleh bersikap untuk mengurangkan subsidi kepada rakyat,sebab subsidi itu adalah hak rakyat,sepatutnya tak boleh sebut subsidi pun sebaliknya itu adalah hak rakyat yang patut diberikan oleh kerajaan kepada rakyat," ujar Nasruddin lagi.
"Kerajaan sepatutnya memulangkan itu kepada rakyat, memberi kembali kepada rakyat,apa yang berlaku hari ini dia berfikir bagaimana untuk mengurangkan subsidi kepada rakyat akhirnya memaksa rakyat untuk membayar dengan harga yang mahal kepada minyak dan barang-barang lain," katanya.