Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau dimaklumkan adanya surat sedemikian dalam fail di ibu pejabat dan digunakan untuk menjawab dakwaan Jenapala.
Datuk Salehuddin Hashim, yang meletakkan jawatan setiausaha agung PKR Januari lalu, membuat laporan mengenai surat bertarikh 2 Februari 2009 itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur petang semalam.
Salehuddin berkata beliau hanya membuat laporan itu sekarang selepas dimaklumkan mengenai kewujudan surat tersebut dua hari lepas oleh peguam Jenapala yang menunjukkan afidavit dari Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau dijadual untuk mengadakan sidang media Isnin ini.
"Saya hanya melihat surat itu dua hari lalu. Peguam Jenapala bertanya sama ada itu surat saya dan selepas melihatnya ia bukan surat saya. Ia tidak ditandatangan oleh saya," katanya.
"Mungkin Jenapala dibuang dengan sebab lain itu saya tak peduli, tapi kalau dia dibuang oleh sebab surat ini, saya marahlah... menganiaya orang sahaja," katanya.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula Jenapala yang memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa pemilihan bagi jawatan timbalan presiden PKR adalah tidak sah dan terbatal atas alasan tidak mendengar masalah membabitkan parti-parti politik.
"Surat itu dalam fail, bila Jenapala kata dakwaan palsu, mereka bukan fail. Kalau Datuk Salehuddin kata palsu, anda kena siasat. Parti sedia untuk disiasat," kata Dr Wan Azizah pada pertemuan dengan The Malaysian Insider di rumahnya di sini malam tadi.
PKR mengadakan kongres nasional selama dua hari bermula pagi ini di Petaling Jaya. Keputusan rasmi pemilihan akan diumumkan esok.
"Surat itu memang ada dalam fail, kata YB Saifuddin. Tetapi hakim mengatakan bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar kes... jadi, peruntukan selepas Umno diharamkan sebab itu mereka meminda peruntukan Pendaftaran Pertubuhan," katanya.
Bagaimanapun Dr Wan Azizah bimbang pihak polis akan menggunakan kesempatan untuk memeriksa perkara-perkata lain yang tidak berkaitan.
"Siasatlah, cuma takut polis datang mereka akan geledah (satu pejabat), benda-benda lain. Kalau berhubung surat itu, tiada masalah... tetapi bukan pada benda lain, bukan alasan untuk memeriksa perkara-perkara lain sebagaimana mereka lakukan ke atas Malaysiakini, bawa semua komputer.
"Kalau nak periksa tentang perkara (surat) itu, datang periksa," kata beliau.