ARTIKEL SEBELUM

7/10/10

Wang Yang Disatukan – Bila Mahu Dibersihkan?

Dzulkefly Ahmad

Asalnya memang malas hendak melayan isu ini. Memang kata orang, kerja orang politik senantiasa hendak menjatuhkan lawan. Mutakhir tampak macam Umno mencetus isu, mengambil sebanyaknya ‘mileage’ dan kemudiannya meninggalkan isu begitu sahaja. Pakatan hanya ‘mengekor’ sahaja dan bertindak reaktif. Contohnya mana isu YB Neo Ching masuk masjid, isu Kalimah Allah dsbnya.

Tak putus-putus serangan dibuat. Tapi kali ini Umno silap congak. PAS dan Pakatan tidak akan izinkan Umno mencetuskan isu dan melenyapkan isu ini begitu sahaja. Kali ini, PAS akan lanjutkan sehingga terlondeh Umno! Isu ini akan akhirnya ke Parlimen lagi!

Apabila Reezal Merican Naina Merican pertama-tama mendedahkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang telah menggunakan wang sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk pemberian wang ehsan RM100 kepada warga emas, Umno menyangka Ketua Penerangan Pemuda Umno itu bijak mencari isu membunuh lawan politiknya.

Serangan ini dianggap berjaya dan berkesan mencetuskan rasa marah orang Islam, khususnya warga emas yang memulangkan wang RM100 itu. Mereka bertujuan menjatuhkan wibawa Ketua Menteri Lim Guan Eng. Lantas ada yang ‘berlakon’ memulangkan pemberian itu kembali.

Umno menggeletek keseronokan melihat taktiknya menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan Pulau Pinang dan Ketua Menteri itu berjaya. Ketika mendapat tentangan, serangan beraleh sasaran. Kali ini ditujukan kea rah program pembayaran RM1000 kepada waris ketika warga emas meninggal. Kedua-dua ini dikatakan dari sumber haram hasil derma RM2juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

Kerajaan Pulau Pinang telah secara jelas mengatakan bahawa sumber kedua-dua program tersebut adalah dari peruntukan belanjawaan 2010 sebanyak RM20 juta hasil penjimatan penjimatan dari urustadbir CAT (kecekapan, pertanggungjawaban dan ketelusan). Tuduhan Umno jelas meleset. Tetapi peduli mereka tentang fakta dan kebenaran. Yang penting mereka ‘spin’ –‘putar-belit’ dan mampu yakinkan rakyat yang tidak membaca media alternatif dan internet – golongan yang bengantung seluruh maklumat dari media BN/Umno – Utusan, BH dan RTM.

Begitu juga program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK). RAK adalah program kerajaan Pulau Pinang untuk membasmi kemiskinan tegar dengan mengeluarkan keluarga daripada garis pendapatan RM400 sebulan kepada sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

Umno kecewa. Program murni ini terus diserang Umno, kononnya sumber haram dan dari judi.

Pegawai Kewangan Negeri sendiri Dato’ Farizan Darus telah mengaskan bahawa sumber RM2juta daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhusus pemberiannya hanya kepada orang bukan Islam. Memang miskin tegar bukan hanya terdiri dari orang Islam. Tentunya tidak salah menyalurkan wang derma kepada orang bukan Islam sementara orang Islam tidak diberikan dari sumber ini. Bukankah ini satu usaha murni dari kerajaan negeri Pulau Pinang mempastikan orang Islam mendapat sumber yang halal?

Persoalan yang hendak ditanya rakyat, khususnya umat Islam ialah : Sejak bila pulak Umno pandai membezakan sumber rezeki halal dan haram? Sebabnya? Judi dan Umno ini sinonim sejak azali lagi!

Sejarah merakamkan betapa Umno mengingkari fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang pada tahun 1951 iaitu Tuan Haji Abdullah Fahim (Ayahanda mantan PM Tun Abdullah Ahmad Badawi) bahawa judi loteri adalah haram.

Ertinya halal dan haram dalam UMNO tidak pernah menjadi masalah sejak penubuhannya mereka lagi. Malahan, tumbesaran UMNO tidak sangat memperhitungkan halal-haram sejak Merdeka lagi.

Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam Umno membantah loteri kebajikan adalah haram. Pemimpin Umno tidak memperdulikan bantahan ulamak dalam Umno, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951.

Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam Umno supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan Umno BN meluluskan lesen judi bola 2010 sempena pertandingan Piala Dunia kepada Syarikat Ascot Sport Tan Sri Vincent Tan Berjaya Group pada 6 Mei 2010 tetapi terpaksa digantung buat sehingga kini.

Peliknya kerajaan Negeri Pulau Pinang yang pertama mengharamkan judi bola sekaligus memusnahkan rancangan Umno untuk membenarkan lessen judi bola di Malaysia. Kerajaan PAS lebih awal lagi tidak mengizinkan lesen judi di premis-premis di Kelantan setelah berbincang dengan semua tokoh agama-agama lain.

Isu pokok yang hendak diketengahkan ialah sumber pendapatan. Timbalan Perdana Menteri turut tumpang semangkok mengambil kesempatan untuk memukul kerajaan Pakatan Rakyat kononnya orang Islam cukup peka dengan sumber pendapatan mereka bukan dari sumber haram seperti judi.

Kalau benar TPM peka dan Umno peka dengan sumber pendapatan perlu bersih dan halal, mengapa kerajaan Umno/BN sejak berdekad lamanya masih mengumpulkan semua pendapatan dari cukai dan bukan cukai dari sumber yang haram seperti Cukai Dosa atau “Sin Tax”, rokok, judi, arak dsbnya masih tidak lagi dipisahkan bahkan disatukan dalam ‘Wang yang Disatukan’ atau “Consolidated Fund” di peringkat kerajaan Pusat?

Ahli Parlimem Kuala Selangor pernah membangkitkan perkara ini, seperti juga beberapa ahli Yang Berhormat yang lain, tetapi pimpinan Melayu Umno membisu seribu bahasa. Tiba-tiba nak tunjuk warak dan alim kononnya peka dengan sumber pendapatan – halal dan haram. Kemuncak hipokrasi Umno!

Seluruh rakyat perlu diberitahu bahawa pimpinan Umno menipu rakyat lagi khusus kakitangan kerajaan bahawa penerimaan gaji mereka adalah tidak jelas dari sumber yang halal kerana telah ‘disatukan’. Dalam amalan Kewangan Islam, sumber yang jelas boleh dipisahkan dari sumber yang haram bagi pembersihan pendapatan. Tentunya gaji kakitangan mampu dibayar dari sumber yang jelas halalnya.

Sudah sampai waktunya pimpinan negara bertindak menyelamatkan pembayaran imbuhan kakitangan kerajaan untuk umat Islam di segi gaji dan bayaran yang mereka terima. Hanya ‘political will’ atau iltizam politik yang tinggi serta kepekaan terhadap agama yang mendalam yang akan mampu membuat perubahan seperti ini. Umno/BN tidak diharapkan untuk membuat perubahan ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat termasuk kepekaan pimpinan bukan Islam dari Pakatan tampaknya lebih bersungguh dari pemimpin elit Umno yang tegar dengan rasuah dalam kerasukan haloba tempolok masing-masing, meninggalkan kepentingan umat Islam dan mengorbankan kesejahteraan rakyat seluruhnya.


** Dr Dzulkefly Ahmad adalah AJK PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Kuala Selangor

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud