PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya mengekalkan jawatannya apabila tiada calon lain yang menyerahkan borang bagi mencabar kedudukannya itu selepas tempoh penghantaran borang tamat petang Sabtu.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sharifah Shahidah berkata, setakat pukul 6 petang Wan Azizah merupakan itu merupakan satu-satunya calon bagi jawatan itu.
"Secara keseluruhannya, Majlis Perwakilan Pusat (MPP) menerima 158 pencalonan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) (76) dan Wanita (59)," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di sini, Sabtu.
Beliau mengumumkan keputusan tersebut selepas tamat proses penerimaan pencalonan pada pukul 6 petang Sabtu.
Calon-calon yang ingin bertanding sebarang jawatan menyerahkan borang penerimaan pencalonan dari 10 pagi hingga 6 petang pada Hari Penerimaan Pencalonan pada Sabtu.
Sementara itu seperti dijangkakan bagi perebutan jawatan yang paling sengit iaitu Timbalan Presiden, tiga calon utama sah bakal bertanding iaitu Naib-Naib Presiden Mohamed Azmin Ali dan Mustafa Kamil Ayub serta Pengerusi PKR wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zaid Ibrahim.
Seramai 19 calon pula menawarkan diri merebut jawatan Naib Presiden termasuk Nurul Izzah Anwar, Abdullah Sani Abdul Hamid, Chua Tian Chang, Dr Xavier Jayakumar, Fuziah Salleh, Jonson Chong, dan N. Gobalakrishnan.
Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), penyandang iaitu Shamsul Iskandar Mohd Akin dicabar oleh Badrul Hisham Shaharin.
Sementara itu, Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin berdepan dengan dua pesaing untuk memegang jawatan tersebut. Mereka terdiri daripada Animah Ferrar dan Suraya Sudin.
Menurut Sharifah, keputusan tidak rasmi akan dikeluarkan sebelum pukul 6 petang Ahad.
Katanya, calon-calon terbabit boleh membuat sebarang bantahan dan tarik diri atas sebab-sebab disiplin pada 18-20 Oktober.
"Selepas itu, pihak jawatankuasa pemilihan parti akan memproses bantahan dari 21 hingga 24 Oktober ini," katanya.
Tambah beliau, senarai muktamad akan dikeluarkan pada 24 Oktober ini dan proses pemilihan parti pada 29 Oktober ini.