Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee berkata, pihaknya mahu memberikan tekanan ke atas BN pada pilihan raya kecil yang ke-13 ini.
“Oleh kerana ini hanya pilihan raya kecil, ia tidak akan membawa perubahan segera dalam kerajaan negeri tetapi SAPP akan mengoyah BN, yang ahli-ahlinya akan panik dan cuba lari daripada BN,” kata ketua menteri Sabah ini selepas mesyuarat majlis tertinggi partinya di sini hari ini.
Kata beliau,SAPP di zon Sandakan telah bersedia menggerakkan jentera dan akar umbi untuk berkempen bagi memastikan kemenangan SAPP.
“Dalam siri mesyuarat agung cawangan SAPP di seluruh Sabah dan Labuan bermula 25 Sept hingga 10 Oktober lepas, parti telah mengadakan raptai serentak untuk persiapan pilihan raya berkenaan.
“Persiapan itu termasuk analisis SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Peluang, Ancaman), penilaian kekuatan organisasi tempatan, isu dan Kepimpinan,” katanya.
Ditanya mengenai calon yang akan diketengahkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut, Yong berkata “nama calon akan diumumkan pada 23 Oktober ini ketika majlis perasmian pejabat SAPP yang baru di Bandar Lela, Sandakan.”
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 26 Oktober ini sebagai tarikh penamaan calon pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian wakilnya Datuk Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah (PBS), selepas terbabit dalam nahas jalan raya di Tanjung Aru 9 Oktober lepas.
Terdapat 25,582 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 24,047 pemilih biasa dan 1,535 pemilih pos di kawasan itu.