Oleh Norasikin Samsi
SHAH ALAM 3 Sept - Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mendapati seluas 136 ekar tanah telah diusahakan secara haram sejak 2002 di bawah pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional.
Panel Selcat mendedahkan sebuah syarikat pemaju telah melanggar peraturan dengan mengusahakan lima lot tanah di Seksyen Seksyen U14 Mukim Bukit Raja di Petaling Jaya sebagai tanah perkuburan bukan Islam (jirat Cina) tanpa mengikuti ketetapan undang-undang serta kebenaran kerajaan negeri.
Bercakap dalam sidang media selepas pendengaran awam Selcat diadakan di Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini semalam, Pengerusinya, Teng Chang Khim merumuskan bahawa ketiga-tiga pihak yang dipanggil untuk menjalani pendengaran awam berhubung pemajuan tanpa kebenaran tapak perkuburan (selain Islam) di kawasan berkaitan telah mengakui melakukan kesalahan.
Selaku saksi pertama, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengaku bersalah kerana kecuaian dan kegagalannya memastikan syarikat pemaju tidak menukar status tanah daripada tanah pertanian kepada tanah perniagaan.
"Dari segi MBSA sudah jelas bahawa undang-undang yang lebih berkesan tidak digunapakai di bawah dua peruntukan iaitu Akta Perancangan Bandar dan Desa 1974 dan juga Akta Jalan, Perparitan dan Bangunan 1976.
"Di bawah peruntukan ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh memberikan notis 30 hari kepada mana-mana pemilik bangunan atau struktur bangunan yang haram untuk merobohkan bangunan tersebut dalam tempoh 30 hari. Sekiranya pihak pemilik bangunan gagal berbuat demikian, maka pihak PBT juga boleh merobohkan bangunan berkenaan di mana akta berkaitan tidak digunapakai oleh MBSA," kata Chang Khim.
MBSA yang diwakili Datuk Bandaraya Shah Alam, Datuk Mazalan Mohd Noor turut mengakui kesilapan mereka yang tidak peka terhadap status tanah perkuburan itu.
Pihaknya hanya menyedari keperluan menukar status tanah tersebut mulai 2007.
“Di peringkat awal kita tidak sedar bahawa tanah perlu ditukar status dulu kerana semua kubur yang saya nyatakan tak perlu ditukar. Tapi sejak tahun 2007 kita baru sedar,” jelasnya.
Beliau juga menjelaskan jabatan perancangan MBSA telah memberikan notis borang G, F, E di samping telah membuat lawatan tapak secara berkala, namun pemaju masih menjalankan operasinya.
Manakala Jabatan Kejuruteraan MBSA turut mengeluarkan notis di bawah peruntukan seksyen 70A(1), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kepada pemaju.
Sementara itu Pejabat Tanah Petaling Jaya juga mengaku bersalah di hadapan panel lima anggota Selcat kerana membenarkan tanah itu dibangunkan tanpa kelulusan.
Disamping itu, pemaju, Tetuan Premivest Sdn Bhd mengaku bersalah kerana menjalankan operasi secara haram tanpa kelulusan daripada Pejabat Tanah dan melanggar notis MBSA selepas PBT itu menyedari berlaku kesilapan pada status tanah perkuburan.
"Walaupun telah diberi amaran serta diberikan notis di bawah undang-undang berkenaan, mereka masih meneruskan operasi. Jelas sekali kerana keuntungan yang begitu lumayan," kata Chang Khim yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor
Menurut beliau, kesalahan ketiga-tiga pihak itu telah menyebabkan rakyat Selangor kerugian cukai tanah yang setakat ini masih belum dikenalpasti jumlahnya.
Menyedari kesalahan mereka, Chang Khim berkata pemaju dikenakan lapan kompaun, dan telah melunaskan tujuh setakat ini.
Denda yang dikenakan terhadap Premivest adalah sekurang-kurangnya RM25,000 bagi setiap kompaun yang dikenakan.
Jelas beliau, Pejabat Tanah pula didapati gagal meneliti proses permohonan tanah daripada pihak pemaju yang terhenti selepas mendapati ada kesipalan dari segi persempadanan tanah.
"Pihak Pejabat Tanah sudah jelas bahawa ada penangguhan kerana tidak meneruskan proses permohonan walaupun pada masa itu mempunyai masalah persempadanan.
"Tetapi persempadanan itu sebenarnya tidak menjadi isu. Sebab kalau ikut suratan hak milik, ia terletak di Pejabat Tanah Klang, maka Pejabat Tanah Klang akan meneruskannya dan di situ ada kelemahan dari segi pembuat keputusan," jelas Chang Khim lagi.
Premivest memulakan operasi pada 1991 dengan mendapat kebenaran tukar syarat tanah dari Pejabat Tanah dan Daerah Petaling daripada pertanian kepada jirat Cina.
Namun operasi secara sah hanya dijalankan sehingga 1997 sahaja.
Bermula tahun 2002, fasa kedua hingga ke fasa keenam tanah perkuburan ini dimajukan secara haram.
Pemaju juga didapati bersalah kerana cuba memperdayakan kerajaan negeri dengan membina jirat secara berkelompok di atas tanah terbabit dengan harapan kerajaan negeri terpaksa memberi keseluruhan tanah haram itu kepada mereka.