SHAH ALAM 21 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang mendakwa nama Yang Di Pertuan Agong telah digantikan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng satu pembohongan semata-mata dengan tujuan menyemarakkan api kebencian di negara ini.
"Saya sendiri memantau perkembangan tersebut, membaca teks khutbah yang diedarkan dan menerusi rakan-rakan di Pulau Pinang mendapati tuduhan tersebut tidak berasas bahkan ianya merupakan satu fitnah demi laba politik pemerintah yang kian hari kian terdesak.
"Pimpinan Umno menerusi akhbar Utusan Malaysia berterusan menggunakan aksi politik perkauman sempit yang usang. Kegagalan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak memahami nurani rakyat Malaysia keseluruhannya yang mahukan sebuah negara yang kekal aman dan sejahtera dizahirkan oleh kenyataan berunsur fitnah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tersebut," kata Anwar dalam kenyataannya semalam.
Beliau berkata Umno akan meneruskan usaha memfitnah Pakatan Rakyat bagi memecah belah perpaduan kaum dinegara ini.
"Kita yakin usaha pimpinan Umno ini tidak akan berhenti di situ sahaja. Mereka pasti menganyam fitnah yang lain pula demi memecah belahkan muafakat masyarakat di negara ini yang mahu hidup dalam kerukunan dan sejahtera.
"Mereka menyedari rakyat Malaysia mempunyai keyakinan yang teguh untuk terus beriltizam dengan Perubahan dan demi Malaysia yang Adil.