KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata orang Melayu tidak boleh lagi terus percaya yang Umno akan membela nasib mereka setelah selama lima dekad rakyat sama-sama melihat bagaimana sistem yang adai menuju kepada “pengagihan hasil ekonomi negara kepada kelompok Umno-putra.”
Juster kata Presiden PAS, ketidakadilan bukan sahaja dirasai oleh pelbagai kaum yang wujud dalam negara kita, bahkan juga berlakunya diskriminasi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang berlainan fahaman politik dengan kerajaan dipimpin Umno-BN.
“Bukan itu sahaja, politik perkauman sempit dan laungan bersifat rasis kini telah menjadi bahan ugutan dan senjata untuk meraih sokongan oleh pimpinan BN dikala terdesak, seolah-olah rakyat dengan begitu senang boleh dipengaruhi pada zaman langit terbuka ini,” kata beliau dengan merujuk kepada perkembangan sejak seminggu ini termasuk ekoran tuntutan Kongres Ekonomi Cina.
Kata Hadi (gambar), permasalahan dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berbentuk resolusi dari kongres ekonomi yang dianjurkan oleh parti itu adalah satu lagi manifestasi kegagalan BN dalam memahami kehendak keadilan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyat pelbagai kaum.
“Keadaan ini tambah merumitkan apabila MCA yang merupakan satu parti yang dianggotai oleh golongan elit dan kaya yang tidak membela nasib rakyat bawahan berketurunan Cina yang memerlukan.
“Kegagalan inilah juga yang turut dikongsi bersama oleh parti MIC,” kata beliau.
Oleh itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata rakyat semua lapisan rakyat dalam negara bertenang dan menilai dengan adil akan tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno-BN.
“Kepada seluruh rakyat dalam negara kita, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik songsang mainan Umno-BN ini, dengan kita sama-sama meletakkan negara di landasan yang sepatutnya dalam menghadapi cabaran zaman yang mendatang, ke arah suasana yang lebih adil dan aman di Malaysia,” katanya.