Hiasan
KOTA BAHARU: Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam penagihan dadah terpaksa dihantar ke hospital sejurus selepas ditahan polis kerana menyembunyikan enam botol dadah di dalam duburnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Supt Md Azmi Othman berkata lelaki berumur 33 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Ketereh, dekat sini, awal pagi semalam.
"Serbuan dilakukan kira-kira pukul 1 pagi semalam dan hasil pemeriksaan di dalam rumah suspek itu, polis menemui dadah jenis heroin yang diletakkan dalam satu botol lutsinar sebesar jari kelingking.
"Hasil soal siasat, suspek mengaku mempunyai enam lagi botol heroin yang sama disorokkan dalam duburnya," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Beliau berkata lelaki itu dibawa ke hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) untuk mengeluarkan botol berkenaan.
"Hanya lima botol yang dapat dikeluarkan. Doktor turut melakukan X-Ray dan hasilnya mereka melihat masih ada objek kehitaman yang dipercayai botol plastik mengandungi dadah itu," katanya.
Beliau berkata lelaki itu kemudian dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu dan botol itu dikeluarkan oleh suspek ketika ditahan dalam lokap pada pukul 6.10 petang.
-BERNAMA