ARTIKEL SEBELUM

8/07/10

Tembak rambang: BN perlu bertanggungjawab

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Julai: Sebanyak 26 parti politik dan pertubuhan masyarakat negeri Johor hari ini menyeru Kerajaan Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab ke atas tindakan pihak polis melepaskan tembakan sesuka hati sehingga menyebabkan kehilangan beberapa nyawa rakyat negara ini.

Seruan itu dibuat dalam satu petisyen yang diserahkan oleh koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang di lobi parlimen untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ianya berikutan dua kes tembakan rambang secara berasingan yang berlaku di Johor masing-masing melibatkan kematian dua pemuda India dan seorang pemuda Melayu berusia 18 tahun.

Kit Siang selepas menerima petisyen itu, mempersoal keengganan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta maaf secara rasmi kepada keluarga mangsa, termasuk kes yang terbaru melibatkan remaja berusia 14 tahun, Aminulrashid Omar di Shah Alam.

"Saya nak tanya, kenapa kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri tidak meminta maaf secara rasmi terhadap keluarga mangsa akibat tembakan polis sewenang-wenangnya ini," katanya.

Beliau juga menyokong penuh tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik membuat tuntutan terhadap kerajaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kes tembakan seperti ini berlarutan dan harus dihentikan dan kita menyokong tuntutan yang dibuat NGO dan parti politik," katanya lagi.

Pada 20 Oktober 2008, tiga pemuda berketuruanan India berusia lingkungan 30 tahun, Agustin A/L Mahamenathan, M. Jagathesan dan Siva diserang oleh polis dengan tembakan di Taman Johor.

Agustin dan Jagathesan terbunuh di tempat kejadian manakala Siva berjaya melarikan diri.

Pada 20 Oktober 2009, seorang remaja Melayu, Mohd Afham Arin, 18 tahun pula ditembak mati.

Allahyarham Mohd Afham menunggang motosikal bersama Mohd Firdaus Marsawai yang juga berusia 18 tahun dikejar dan ditembak mati oleh tiga polis yang berpakaian biasa semasa dalam perjalanan dari Taman Johor Jaya ke Pasir Gudang.

Mohd Afham mati kerana kecederaan yang berpunca daripada tembakan pistol di arteri jantung.

Pihak polis mendakwa dalam sidang media keesokan harinya, bahawa tiga peronda bermotosikal cuba menahan motosikal yang dinaiki oleh Mohd Afham dan Mohd Firdaus kerana mereka disyaki terlibat dalam kes ragut yang berlaku di Taman Johor Jaya.

Pihak polis melepaskan tembakan atas alasan mempertahankan diri kerana pembonceng motosikal iaitu Mohd Firdaus melibas pedang terhadap anggota polis.

Sementara itu, ibu Allahyarham Mohd Afham, Sapiah Md Elah yang tidak dapat menahan kesedihan atas kematian anaknya mendesak siasatan dilakukan dengan seadil-adilnya bagi membersihkan nama anaknya yang tercemar kerana disyaki terlibat dengan jenayah.

"Saya nak minta keadilan bagi anak saya, saya nak nama anak saya dibersihkan, saya minta kes ini diadili berdasarkan undang-undang yang betul," katanya sambil mengesat air mata.

Manakala, abang Mohd Afham, Mohd Afli Arin, juga menuntut perkara yang sama, iaitu keadilan bagi pihak adiknya.

"Saya yang menjaga dia selama dia hidup, semasa dia kleuar pun dia minta izin saya. Kita percaya kepada undang-undang tapi undang-undang tidak bersikap adil.

"Dia baru berusia 18 tahun, kalau dia hidup dan berkhidmat kepada kerajaan, sudah pasti dapat memberi kebaikan kepada negara. Tapi polis bertindak sewenang-wenangnya. Saya nak tanya polis laksanakan undang-undang ke tidak?" katanya.

Turut bersama pada sidang media itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan koordinator Suaram Pusat, S. Arutchelvan.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud