KUALA LUMPUR: Kes rasuah melibatkan bekas Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop masih dalam siasatan pihak berkuasa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, tindakan susulan terhadap Hasbie Satar akan diambil selepas siasatan selesai dan terdapat bukti kukuh.
"Kes ini masih lagi dalam siasatan, jadi saya tidak dapat menjelaskan lebih banyak mengenainya," katanya ketikanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Mahkamah Rendah (Pindaan) 2010 pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Semalam, Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) ketika membahaskan rang undang-undang itu, meminta penjelasan berhubung status siasatan kes rasuah melibatkan Hasbie.
Wee mempersoalkan mengapa Hasbie masih tidak didakwa di mahkamah sehingga kini dan sama ada ketiadaan pendakwaan terhadapnya bermakna kes itu telah ditutup.
Hasbie ditahan pada 12 Februari lalu tetapi dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enam hari kemudian, dengan jaminan RM50,000.
Media sebelum ini melaporkan bahawa pegawai SPRM dari Putrajaya telah menyerbu sebuah pangsapuri di Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang dan menemui wang tunai yang diikat mengikut nilai RM5, RM10, RM50 dan RM100 berjumlah kira-kira RM2 juta.
Liew berkata, semua pihak tidak patut menghukum mana-mana individu jika dia belum dibicara dan dijatuhkan hukuman di mahkamah.
"Mahkamah adalah tempat yang sebenar untuk tertuduh menjawab segala tuduhan yang dibuat terhadapnya, dan juga mendengar keterangan saksi," katanya.
Rang undang-undang itu kemudian diluluskan.
Persidangan dewan disambung Isnin. - BERNAMA