Pengarah Muktamar, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak ada masalah untuk menerima kehadiran mana-mana wakil media bagi menjalankan tugas mereka.
“Kita parti yang matang,” katanya ketika ditanya sama ada wartawan Utusan Malaysia akan dihalang membuat liputan sebagaimana yang berlaku semasa Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
Hujung bulan lalu, wartawan Utusan Malaysia ditegah membuat liputan kongres PKR yang berlangsung antara 28 hingga 30 Mei berikutan arahan dari ibu pejabat PKR di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Takiyuddin semasa sidang akhbar berkata, selain Muktamar Pas Pusat, tiga muktamar iaitu Muktamar Dewan Ulamak, Muktamar Dewan Muslimat Pas dan Dewan Pemuda Pas akan diadakan pada 10 Jun di tiga lokasi berbeza.
Tambahnya, perjalanan muktamar tahun ini tidak membabitkan proses pemilihan.
“Muktamar Dewan Ulama akan berlangsung di Markas Dewan Ulamak (MADU) di Machang manakala Dewan Pemuda di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) dan Dewan Muslimat di Perdana Resort.
“Buat pertama kalinya juga, perasmian ketiga-tiga dewan akan dilakukan serentak di PUTIK pada Rabu ini yang akan disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya.
Sementara itu, katanya, perasmian bagi Muktamar Tahunan Pas Pusat akan diadakan pada Jumaat ini yang akan turut dihadiri oleh pimpinan utama daripada parti pakatan pembangkang.
Menurutnya, sepanjang muktamar selama tiga hari itu, kira-kira 1,200 perwakilan dari ketiga-tiga Dewan dan kawasan sudah mengesahkan kehadiran mereka.
Bagaimanapun, katanya, wakil dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) hanya akan hadir atas status sebagai ‘pemerhati rasmi’ dan bukannya perwakilan.
“Kita juga mendapat pengesahan kehadiran wakil dari Kedutaan Amerika Syarikat dan beberapa kedutaan lain.
“Wakil dari Hamas, Mindanao Islamic Liberation Front (MILF) Filipina dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia juga akan hadir pada hari perasmian,” katanya.
Takiyuddin berkata, usul tergempar mengenai kekejaman rejim Israel dijangka akan dibahaskan pada muktamar tersebut.