ARTIKEL SEBELUM

8/06/10

Cari Dadah Tapi Jumpa Coli Curi



KUALA TERENGGANU: Pada mulanya, polis menyerbu rumah seorang pembantu kesihatan awam untuk mencari dadah, namun serbuan awal pagi ini di Marang telah membawa satu penemuan yang mengejutkan apabila beratus-ratus helai seluar dalam wanita dan beberapa helai coli, yang dipercayai dicuri, ditemui dalam almari lelaki bujang itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supritendan Roslan Abd Wahid berkata, serbuan dijalankan pada 2.45 pagi di rumah milik bapa lelaki itu di Kampung Rawai, Alor Limbat bagi mengesan beliau untuk satu kes dadah.

"Tujuan serbuan itu dijalankan adalah untuk mengesan suspek bagi tujuan pertuduhan di mahkamah, namun hasil pemeriksaan yang dijalankan di rumah itu, polis telah menemui kira-kira 400 helai seluar dalam wanita dan beberapa helai coli dalam almarinya.

"Lelaki berkenaan tinggal seorang dan masih bujang. Setelah soal siasat dijalankan, suspek mengaku telah mencuri sebahagian besar daripada seluar dalam wanita itu ketika bertugas di Dungun dan Marang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata lelaki itu turut memaklumkan bahawa pakaian dalam tersebut dicuri di sekitar kawasan perumahan di dua daerah berkenaan sejak setahun lalu.

Roslan berkata, paling mengejutkan, lelaki berusia 39 itu mengaku suka mencuri dan menyimpan pakaian dalam wanita kerana gemar memakainya sejak di bangku sekolah menengah lagi, malah ketika ditahan, dia sedang memakai seluar dalam wanita.

"Tetapi fizikalnya tidak mencerminkan dia seorang pondan ataupun gay," katanya.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati lelaki itu turut positif dadah metaphetamine dan dia ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

"Polis juga sedang menyiasat sekiranya ada laporan dibuat oleh mana-mana wanita berhubung kehilangan pakaian dalam mereka bagi membolehkan polis membuat pertuduhan atas kesalahan mencuri," katanya.

Sementara itu, serbuan berasingan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Alur Limbat, kira-kira pukul 5.30 pagi itu turut membawa kepada penahanan empat individu termasuk seorang wanita, ekoran penemuan 60 biji pil kuda bernilai RM2,400.

Roslan berkata, mereka berumur antara 19 hingga 22 tahun dan ujian air kencing mendapati dua daripada lelaki yang ditahan itu positif dadah.

Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud