“Tiada masa saya tidak susah, cuma suka (hari gembira) saya lebih daripada susah.” Demikian rumusan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulas dua dekad kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar Kelantan.
Mengenai perjalanan kepimpinannya sejak akhir 1990, Nik Aziz berkata, “susah senang memang hidup saya.”
Mursyidul Am PAS ini menambah, sebagai seorang Islam beliau yakin bahawa apa yang dibuatnya adalah betul.
“Allah akan bagi restu kepada saya, dunia akhirat, ini kelebihan Islam,” kata pemimpin berusia 79 tahun ini yang sejak dua tahun kebelakangan ini berhadapan siri kritikan termasuk berhubung isu pelantikan anak dan menantunya dalam jawatan agensi kerajaan negeri.
Mengulas lanjut peringkat awal memimpin Kelantan, Nik Aziz berkata, beliau sudah tentu berhadapan dengan kesukaran jika memimpin tanpa ada pandungan dan pengalaman pemimpin lain sebelum itu.
“Tetapi oleh kerana sebelum saya datang, sudah ada pemimpin, pemimpin yang saya maksudkan ini ialah Nabi Muhammad... Nabi Muhammad adalah pemimpin yang dilantik oleh Allah sendiri,” katanya.
“Kesusahan yang menimpa saya dalam memimpin ini, 101 (peratus sedikit) berbanding dengan Nabi Muhammad, terlalu sikit kerana segala usaha penentangan yang dibuat oleh manusia kepada Nabi, orang yang sama... oleh yang demikian, saya hanya tiru, tiru, tiru ajaran Nabi Muhammad.
“Tak boleh pandai-pandai di atas bumi yang ditumpang ini. Macam saya, walaupun saya menteri besar, kalau saya pergi kampung saya tak boleh masuk dapur.
“Saya menteri besar pun saya menumpang rumah orang,” kata beliau. yang meluangkan setiap Jumaat untuk kuliah pagi di Dataran Ilmu, Kota Baru.
“Alhamdulillah... dulu dalam 50 tahun dulu, masa mula-mula PAS terima (ditubuhkan) dulu, Oh! bukan sahaja Umno-Melayu ini lawan saya, sampai tok guru agama pun ditangkap ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) oleh Umno, tok guru-tok guru banyak kena ISA kerana Umno tidak boleh jawab.
Nik Aziz mempertahankan partinya dengan berkata, PAS berada di jalan yang sebenar sejak ditubuhkan enam dekad lalu.
“Umno tak boleh jawab, maka dia guna ISA untuk mendiamkan, mematikan pemikiran rakyat sendiri,” kata Nik Aziz yang salah seorang anak lelakinya turut ditahan di bawah ISA ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
sumber malaysia insider