ARTIKEL SEBELUM

12/06/10

Rumah Timbalan Pengerusi DAP Bahagian Klang bom petrol

Rumah Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) S. Selvadurai di Jalan Bungur, Off Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang dilontar dengan dua butir bom petrol awal pagi ini, dipercayai ada kaitan dengan isu lesen perniagaan kafe siber.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi, sebuah van berjenama Kia milik Selvadurai, 48, yang ketika itu diletakkan dalam kawasan rumahnya mengalami kesan terbakar pada bahagian kiri.

Pintu hadapan rumah mangsa turut mengalami kesan terbakar, kata Selvadurai dan menurutnya ketika kejadian, beliau sedang menonton televisyen selepas baru pulang daripada melawat saudara terdekatnya.

“Saya menyedari kejadian tersebut selepas mendengar bunyi benda pecah di halaman rumah dan setelah diperiksa, didapati ada dua botol kaca berisi petrol di hadapan rumah saya. Bagaimanapun, saya dapat padamkan api dari merebak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau percaya perbuatan khianat itu dilakukan oleh individu yang tidak berpuas hati dengan tindakan anggota MPK yang enggan meluluskan permohonan lessen bagi menjalankan perniagaan kafe siber 24 jam.

Selvadurai yang juga Timbalan Pengerusi DAP Bahagian Klang berkata beliau membuat laporan di Balai Polis Pelabuhan Klang pada 12.30 tengah malam tadi iaitu sejurus selepas kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi berkata polis percaya bom petrol tersebut dilontar dari luar pagar rumah mangsa oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud