KOTA BHARU: Muktamar Tahunan PAS Ke-56 hari ini meluluskan enam usul, dua daripadanya dibawa Jawatankuasa PAS Pusat dan masing-masing satu daripada Dewan Pemuda PAS, Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan satu usul yang digabungkan dari beberapa kawasan PAS.
Kelulusan sebulat suara usul-usul itu diumumkan Timbalan Pengerusi Tetap,
Hussin Ismail.
Usul pertama mengenai pindaan perlembagaan dibentangkan Setiausaha Agung PAS
Datuk Mustaffa Ali manakala usul kedaulatan negara oleh Naib Presiden Salahuddin
Ayob.
Usul ketiga mengenai penghapusan lesen judi sukan dibawa wakil Dewan Pemuda
PAS Ahmad Fadhli Shaari manakala usul keempat mengenai pemerkasaan parti oleh
wakil Dewan Ulama Syed Abdul Kadir Al-Joofre.
Usul terakhir mengenai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dibawa
perwakilan Jerantut, Dr Hamzah Jaafar.
Mengenai pindaan perlembagaan, Mustaffa mengusulkan supaya anggota parti
tidak lagi perlu membayar RM5 untuk menyertai mana-mana Dewan Pemuda, Muslimat
dan Ulama selepas ini.
Selain itu, anggota yang menyertai Lembaga Tatatertib parti tidak lagi
dianggotai mereka yang memegang jawatan dalam parti.
"Ini membolehkan anggotanya benar-benar bebas," katanya. - BERNAMA