ARTIKEL SEBELUM

9/06/10

Mengapa Najib Kerap Tidak Bercakap Benar?

Oleh Faris Aiman

KUALA LUMPUR 9 Jun - Tanpa menyiasat bila dan di mana kononnya Anwar Ibrahim menyebut akan memperuntukkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua kepada DAP jika Pakatan Rakyat memerintah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bingkas memperingatkan rakyat bahawa Ketua Pembangkang itu tidak akan mengkotakan janjinya.

Dalam lain perkataan, Najib menuduh Anwar berbohong. Beliau berkata demikian bersandarkan rekod peribadi Anwar yang dikatakannya tidak dapat melaksanakan kata dan janjinya. Beliau berkata, ini satu lagi helah Anwar untuk memenangi sokongan rakyat keturunan Cina. Najib tidak mahu mereka diperdaya oleh Anwar.

Rekod tidak menepati janji Anwar, kata Najib, termasuklah kegagalannya mengambil alih kuasa pemerintahan negara pada 16 September 2008 setelah mendakwa ramai ahli parlimen Barisan Nasional akan melompat menyokong Pakatan Rakyat.

Gelagat Najib ini agak aneh. Lazimnya, beliau adalah seorang yang agak tenang dan akan sentiasa berusaha untuk mengelak dari terperangkap dalam isu-isu politik yang panas. Kebiasaannya juga Najib akan cuba “membeli masa” sebelum menyatakan sikap dan pendirian politiknya.

Amat jarang sekali beliau membuat komentar politik secara spontan. Sebab itu, di suatu peringkat bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menyifatkan Najib pengecut kerana tidak berani menyatakan pendiriannya terhadap Tun Abdullah Badawi.

Bagaimanapun nampaknya reaksi Najib agak berbeza kali ini. Beliau terus menyerang Anwar kerana laporan akhbar Cina berkenaan. Ini menimbulkan pelbagai persoalan.

1. Pakatan Rakyat belum memerintah Malaysia dan belum tentu jika memerintah, Anwar tidak akan mengkotakan katanya itu.

2. Benarkah laporan dalam akhbar Cina itu yang Anwar berkata demikian? Jika benar apakah konteks soalannya?

3. Mengapa Najib terburu-buru membuat komen sedemikian jika laporan itu hanya dibuat oleh sebuah akhbar berbahasa Cina dan bukan akhbar Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia? Apakah yang mendorong Najib?

Apa yang dapat diperhatikan ialah Najib mungkin tertekan. Pertama, tempat beliau membuat komen itu ialah di Majlis Perundingan Melayu yang baru sahaja secara terang-terangan menolak Model Ekonomi Baru Najib. Walhal model itu telah dijajanya hingga kepada presiden Barak Obama sebagai landasan meliberalkan lagi ekonomi Malaysia.

Mungkinkah Najib mengambil peluang daripada pertanyaan wartawan yang mahu komennya terhadap laporan janji Anwar itu untuk melepaskan diri daripada:

1. Apa yang baru dilafazkannya bahawa NEM belum muktamad dan berharap agar wartawan tidak mendorongnya untuk menjawab mengapa ia belum muktamad sedangkan pelancarannya telah dibuat hingga ke hadapan presiden Amerika Syarikat?

2. Adakah Najib cuba menyembunyikan sikap dan pendirian sebenarnya daripada menjadi tumpuan wartawan di majlis berkenaan? Ini kerana dalam majlis itu Najib diaibkan oleh resolusi MPM yang mengisytiharkan Model Ekonomi Baru Najib tidak memelihara kepentingan Melayu? Maka Anwar adalah sasaran yang baik untuk mengalih pandangan wartawan.

3. Adakah Najib cuba mengelak dipersoalkan mengenai sikap sebenarnya terhadap dasar 1Malaysia?

Dalam majlis itu Najib mengisytiharkan bahawa beliau tidak akan berganjak daripada Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh bapanya pada tahun 1971.

4. Adakah Najib bimbang wartawan akan menafsirkan ucapannya itu sebagai lidah bercabang dengan mengatakan semua rakyat ada hak ekonomi yang adil tetapi berjanji untuk berlaku “lebih adil” kepada orang Melayu di hadapan Ibrahim Ali?

Sikap agak luar biasa Najib ini secara tidak langsung memberi gambaran yang agak menyeluruh peribadi Najib. Ini dapat dilihat daripada tindak tanduknya dalam beberapa isu besar yang membelit negara.

1. Dalam kes Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Anwar Ibrahim, Najib berkata dia tidak ada menemui Saiful sebelum itu. Kemudian Najib mengubah ceritanya dengan mengatakan ada menemui Saiful yang mahu mendapat bantuan untuk melanjutkan pelajaran.

2. Apabila didesak dengan gambar dan laporan beberapa pihak, Najib kemudian mengaku ada menemui Saiful di rumahnya dan menasihatinya supaya membuat laporan polis.

3. Kenyataan bekas pengkhianat parti keadilan rakyat, Ezam Md Nor beberapa minggu lalu pula mendakwa Najib dan Ketua Polis Negara langsung tidak membantu Saiful. Sebab itu Saiful menemui Ezam. Adakah ini satu lagi skrip Najib bimbang diheret ke mahkamah untuk memberi keterangan dalam kes konspirasi ke-2 terhadap Anwar?

Persoalan-persoalan ini mendorong umum untuk meneropong siapakah dan apakah nilai jatidiri Najib sebagai pemimpin. Ada beberapa petunjuk yang boleh digunakan untuk membuat penilaian ini.

1. Apakah polisi baru yang dikatakan transformasi kerajaan yang benar-benar diperkenalkan oleh Najib sejak menjadi perdana menteri setahun lalu? Setiap dasar atau pendekatan baru Najib sering berubah dan tertangguh. Misalnya, Cukai Perkhidmatan Am atau GST. Apabila rakyat berontak, Najib menarik balik keputusan untuk memperkenalkannya di parlimen.

Selain itu, rancangan untuk menarik balik subsidi minyak mengikut kuasa enjin kenderaan. Setelah mengarahkan syarikat pembekal minyak mengeluarkan modal untuk tambahan peralatan bagi melaksanakan skim itu, ia ditarik balik.

Kes kenaikan tarif elektrik pun begitu. Atas alasan mengambil kira pandangan rakyat, ia ditangguhkan.

Namun keputusan itu terus mencemaskan rakyat kerana ia boleh dilaksanakan bila-bila masa.

2. Di mana laporan Indeks Prestasi Utama atau KPI menteri-menteri kabinet seperti dijanjikan Najib ketika mengambil alih jawatan perdana menteri tahun lalu? Apakah ini bermakna menteri yang diberi tanggungjawab dalam perkara ini, Dr Koh Tsu Koon tidak melaksanakan tugasnya atau Najib sebenarnya hanya melakukan satu “public relations exercise” sahaja?

3. Mutakhir sekali isu lesen perjudian bolasepak. Kerajaan mengumumkan telah mengeluarkan lesen judi bolasepak bertujuan untuk menghalang kegiatan judi haram dan penipuan. Rakyat bangkit membantah. Tunjuk perasaan dari pelbagai lapisan tanpa mengira kaum dan agama bangkit menentang; dan, mufti juga mengeluarkan fatwa mengharamkannya.

Tiba-tiba kerajaan pimpinan Najib mengumumkan belum ada lesen dikeluarkan. Ini kerana kononnya kerajaan masih mahu mendapat maklumbalas daripada rakyat.

Gamat. Adakah kerajaan Najib jujur bila mengatakan mahu mendapat reaksi rakyat ? atau, menjadikan kenyataan itu sebagai alasan untuk menghindar kemarahan rakyat tentang betapa lemah dan goyahnya prinsip dan akhlak kerajaan?

Persoalan yang timbul ialah, mengapa terlalu kerap Najib tidak bercakap benar kepada rakyat? Tidakkah tindakan dan keputusan beliau sebagai Perdana

Menteri memberi bayangan betapa beliau seorang pemimpin yang kurang integriti? Tidakkah ini juga menunjukkan Najib lebih mementingkan populariti dan kemenangan politik? Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan – cakap tidak serupa bikin!

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud