ARTIKEL SEBELUM

14/06/10

Khir Toyo dibidas



Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dibidas kerana membuat tafsiran ganjaran RM5,000 sebagai langkah kerajaan negeri mengambil sikap “lepas tangan” dalam membanteras curi pasir serta tiada kepercayaan kepada pejabat daerah.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kritikan-kritikan ketua pembangkang itu tidak memahami proses pentadbiran perlombongan pasir — baik yang dahulu atau yang baharu diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat selepas Mac 2008.

“Mungkin sebab itu beliau telah memberi maklumat yang salah dengan mendakwa bahawa pada 2007 beliau telah berjaya mengutip RM20.5 juta dari royalti pasir sedangkan laporan rasmi oleh Pejabat Tanah san Galian mengesahkan hanya RM2.9 juta dikutip pada tahun itu,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini.

Katanya, ganjaran RM5,000 yang diberikan kepada pemimpin masyarakat dan kakitangan kerajaan yang berjaya membantu kerajaan negeri membanteras jenayah curi pasir adalah untuk melengkapi usaha penguatkuasaan pejabat daerah.

“Persoalan ketidakpercayaan kepada Pejabat Daerah yang mempunyai peranan utama dalam membanteras rasuah tidak perlu timbul kerana ganjaran ini adalah untuk menggalakkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Kampung membantu Pejabat Daerah dalam menangani kecurian pasir di tempat mereka,” katanya.

Nik Nazmi juga memberitahu sepertimana yang dimaklumkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tawaran ganjaran ini dibuat untuk memberi peluang kepada pemimpin masyarakat mengambil bahagian dalam menaikkan kutipan hasil perlombongan pasir.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa Kumpulan Semesta Sdn Bhd iaitu syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar tiada kuasa mengeluarkan.

“Sebaliknya, lesen dikeluarkan oleh Pejabat Tanah kepada Kumpulan Semesta yang kemudiannya membuat tender terbuka bagi memilih kontraktor yang akan melakukan kerja melombong mengikut lesen-lesen yang dikeluarkan.

“Kumpulan Semesta juga memantau untuk memastikan syarikat membuat pengisytiharan yang betul dan membayar royalti kepada kerajaan negeri,” katanya.

Nik Nazmi menambah, apa yang jelas kutipan royalti jauh lebih tinggi daripada kutipan melalui cara lama.

“Sebenarnya kerajaan terdahululah yang telah ‘lepas tangan’ dalam pengurusan dan pentadbiran perlombongan pasir sehinggakan banyak syarikat atau kontraktor yang tidak membuat pengisytiharan yang benar sehingga mengakibatkan negeri ini kehilangan royalti bernilai ratusan ribu ringgit,” katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan terdahulu juga tidak pernah membuat apa-apa usaha dalam untuk membanteras jenayah curi pasir sehinggalah keadaan menjadi teruk pada masa kini.

“Dr Khir Toyo tidak pernah memanafaatkan potensi industri pasir di Selangor.

“Adalah tidak masuk akal apabila beliau tiba-tiba memperjuangkan isu ini sedangkan sebelum ini beliau tidak pernah melakukan apa-apa untuk meningkatkan sistem ketika beliau mentadbir Selangor,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri komited untuk membanteras jenayah curi pasir dan berharap rakyat terus memberi sokongan kerana royalti pasir dipulangkan semula kepada rakyat menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor.- malaysia insider

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud