Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar tidak tahu menahu mengenai khabar angin yang mengatakan Datuk Mohamed Satim Diman akan melepaskan semua jawatan politiknya termasuk sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang.
Beliau berkata, khabar angin mengenai Mohamed Satim yang juga Setiausaha UMNO Selangor itu memang di luar pengetahuannya.
Menurut Noh, beliau akan mendapatkan pengesahan sama ada perkara itu benar atau sebaliknya semasa mesyuarat pengurusan UMNO Selangor .
''Esok ada mesyuarat kita tengoklah macam mana. Semua orang akan hadir (termasuk Mohamed Satim)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad (Kosas) di sini hari ini.
Khabar angin mengenai Mohamed Satim yang dikatakan bersedia melepaskan semua jawatan politiknya bermula apabila ia disiarkan dalam beberapa laman blog pada Khamis lalu.
Khabar angin itu dikatakan berpunca daripada ketidakhadiran Mohamed Satim semasa mesyuarat ADUN-ADUN Barisan Nasional (BN) di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohamed Satim sehingga petang ini tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan mengenai khabar angin tersebut.- utusan meloya