Salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair menerusi pesanan SMS kepada wartawan mengesahkan bahawa polis telah memberi pasukan pembela lampu hijau untuk melawat kondominium tersebut.
Sankara berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada polis, pasukan pembela akan mempunyai akses ke unit milik Hassanuddin pada pukul 9 pagi ini.
“Hanya tiga peguam dan pelanggan dibenarkan akses ke kondominium,” katanya.
Usaha Ketua Umum Pakatan Rakyat itu menemui kegagalan untuk meninjau kondominium itu ekoran kekeliruan berhubung unit.
Pasukan peguam bela Anwar mahu melawat unit 11-5-2 Kondominium Desa Damansara, tetapi kunci yang dibekalkan semalam adalah bagi unit 11-5-1 - tempat di mana kejadian liwat didakwa berlaku oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Pasukan pendakwa raya yang diketuai oleh Peguam Cara Kanan Datuk Yusof Zainal Abiden berkata, perbicaraan akan disambung dengan tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur dijadual memberi keterangan.
Ketiga-tiga doktor itu memeriksa Saiful pada 28 Jun selepas dia membuat laporan polis.
Pun begitu kata Sankara, rancangan mereka untuk membawa pakar forensic dari Australia pagi esok akan diteruskan.
“Kami telah mengemukakan surat kepada mahkamah semalam untuk memaklumkan mahkamah mengenai lawatan ke kondominium,” katanya.
“Hari ini, jika mahkamah membenarkan, kami akan melawat kondominium pada pukul 9 pagi dan akan kembali ke mahkamah pada pukul 10 pagi untuk meneruskan perbicaraan,” kata Sankara .
Peguam itu juga berkata mahkamah akan memutuskan sama ada mahu memanggil Saiful untuk memberi keterangan ataupun doktor terbabit.
“Doktor-doktor akan datang ke mahkamah, dan pakar perubatan pembela juga akan berada di sana,” kata Sankara.-MI