ARTIKEL SEBELUM

3/06/10

Ahli Parlimen Padang Terap nafi pujuk Syed Sobri

http://mppas.files.wordpress.com/2008/10/ustaz-nasir.jpg


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria menafikan beliau antara individu yang dikatakan cuba ‘memujuk’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim untuk melompat parti.

Katanya, beliau dan Syed Sobri sudah lama berkawan atas dasar wakil rakyat memandangkan berada bawah satu kawasan, namun tidak pernah sesekali berbincang mengenai isu politik.

“Saya dan Syed Sobri memang selalu berjumpa pada majlis tidak rasmi sekitar daerah Padang Terap. Hubungan kami memang baik sejak dahulu, bukan sejak kebelakangan ini gara-gara tersebarnya khidmat pesanan ringkas (SMS) konon beliau mahu sertai Pas,” katanya.

Mohd Nasir berkata, walaupun berbeza fahaman politik, ‘kemesraan’ mereka adalah berkisar kepada tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, dan berharap kemesraan itu tidak disalah tafsir pihak tertentu.

“Saya sentiasa bersikap terbuka dan sering mengadakan perbincangan bersama ADUN Kuala Nerang mengenai masalah rakyat. Saya selesa bekerjasama dengan beliau, malah dia juga memberi kerjasama yang baik dalam menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya. Kami cuba berbincang bersama demi menjaga amanah rakyat,” katanya.

Menurutnya, beliau juga tidak pernah diarahkan oleh mana-mana pihak untuk ‘memujuk’ ADUN terbabit supaya lompat parti atau meletakkan jawatan, dan beranggapan kekecohan yang berlaku berpunca daripada kepimpinan UMNO.

“Kami sekadar rakan sesama wakil rakyat dan sering bersama semata-mata untuk bincangkan masalah berbangkit demi untuk membangunkan daerah ini. Hal politik langsung tidak disentuh,” katanya.

Mohd Nasir berkata, biarpun sebelum ini, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu pernah menyuarakan hasrat menyertai Pas sebanyak 43 kali, namun ada kalanya percakapan beliau hanyalah sekadar gurauan.

“Biasalah kadang-kadang saya berlawak dengannya, ajak sertai Pas. Ada masa pula beliau pula bergurau ajak saya sertai UMNO. Kami tidak ambil serius pun apa yang dicakapkan ketika itu. Hanya cakap kosong sebagai rakan,” katanya.

Khamis lalu, khabar angin bertiup kencang mengatakan Syed Sobri akan menyertai Pas atau mengumumkan peletakan jawatan sebagai ADUN, yang disebarkan menerusi SMS oleh sumber terdekat beliau. Namun sehingga kini, beliau belum membuat pengumuman rasmi berhubung statusnya itu.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud