ARTIKEL SEBELUM

26/04/10

"Saya kalah kerana taktik kotor BN," - Zaid



zaidkamala Oleh: Muda Mohd Noor dan Fazy Sahir

KUALA KUBU BARU: Datuk Zaid Ibrahim berkata kekalahannya disebabkan taktik kotor yang dimainkan Barisan Nasional (BN) dengan membeli undi sepanjang kempen pilihan raya parlimen Hulu Selangor.

Beliau merujuk kepada janji manis ditabur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, apabila menawarkan lebih RM60 juta kepada seluruh pengundi Hulu Selangor sepanjang berkempen.

"Kita kalah kerana mereka (BN) menggunakan taktik kotor dengan membeli undi.

"Kita berdepan dengan mereka yang membeli dan menghalalkan undi tidak kira di waktu siang mahupun malam. Kita boleh lihat bagaimana Perdana Menteri membelanjakan sehingga RM64 juta untuk membeli undi pada pilihan raya ini.

"Kita perlu atasi masalah ini kerana apa yang kita hadapi ialah satu sistem politik yang teruk dan pemimpin yang tidak hormat pada undang-undang," katanya di hadapan kira-kira 300 penyokong PKR.

Zaid kalah dengan majoriti 1,725 kepada Kamalanathan, calon BN dari MIC.

Beliau bagaimanapun, menerima kekalahan itu dengan hati yang terbuka.

"Dalam setiap pertandingan kita mesti menjangkakan sama ada menang ataupun kalah," katanya.

Sementara itu bercakap kepada wartawan selepas majlis itu, "Sudah tentu apabila kalah kita tidak akan berasa gembira. Tetapi bagi saya itu tidak mengapa yang penting kita telah mencuba."

Zaid yang juga merupakan bekas Menteri Undang-undang mendakwa, pilihan raya kecil kali ini adalah mimpi buruk yang dipenuhi rasuah sepanjang pilihan raya kecil berlangsung.

"Jadi saya harap harap penyokong-penyokong kita bersabar dan usah risau dengan keadaan ini kerana saya boleh menghadapi cabaran ini.

“Saya berjanji saya akan sama-sama dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekerja keras dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Abdul Khalid, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR Azmin Ali, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh dan Pengarah Strategik PKR Tian Chua.

Sementara itu, Kamalanathan yang ditemui pemberita kelihatan ceria dengan kemenangannya ketika membuat lawatan mengejut ke pekan Kuala Kubu Baru, sebentar tadi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi Hulu Selangor yang memilihnya.

"Saya berterima kasih kepada pengundi kerana memberikan sokongan kepada saya. Saya akan mengambil peluang ini untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Saya berasa amat gembira dan tidak menyangka diberi peluang dan tanggungjawab yang begitu besar ini.

Walaupun masih baru menyertai politik, namun beliau berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud