BUNTONG – Polis menafikan dakwaan Dewan Pemuda Pas Negeri Perak yang menyatakan pihak polis berat sebelah dalam mengawal perarakan yang dibuat oleh Pergerakan Pemuda UMNO negeri baru-baru ini.
“Itu tidak benar, polis tidak membenarkan perarakan dibuat, tindakan kita adalah konsisten. Kita tidak benarkan sebarang perarakan diadakan dalam masa ini kecuali perarakan keagamaan. “Dakwaan polis memudahkan perarakan yang dibuat itu adalah tidak betul. Kita hadir bagi menentukan tidak berlaku pelanggaran undang-undang.
"Perarakan yang boleh memungkinkan ketenteraman awam berlaku, kita tidak beri,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Majlis Dialog Cegah Jenayah Ketua Polis Perak bersama penduduk Kampung di Dewan Badminton di sini. Beliau mengulas mengenai kenyataan Penolong Setiausaha DPPNPk, Safarizal Saleh yang menyifatkan perarakan serahan memorandum oleh pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak, Jumaat lalu disifatkan sebagai berat sebelah.
Kata Safarizal, perarakan itu mendapat layanan istimewa dengan diiringi oleh polis. “Bila Pas atau Pakatan Rakyat (PR) membuat demikian, polis akan mengawal dan turun beramai-ramai membuat sekatan jalan raya. Malah pihak istana juga tidak akan mengizinkan serahan dibuat di dalam istana. “Inilah berat sebelah dan sikap tidak adil polis dalam memastikan UMNO diberi keutamaan,” katanya.
Safarizal berkata, layanan sama perlu diberi agar keyakinan terhadap polis diterima. “Jika polis dan pihak istana memberikan layanan yang sama juga kepada kami, sudah tentu rakyat akan menerima dengan keyakinan bahawa polis tidak diperalatkan oleh UMNO selama ini,” katanya.
