ARTIKEL SEBELUM

22/04/10

Parlimen lulus usul rujuk Anwar ke jawatakuasa hak





KUALA LUMPUR, 22 April — Dewan Rakyat meluluskan usul yang mahu merujuk Ketua Umum Pakatan Rakyat kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa mengelirukan Parlimen dan membuat tuduhan serius dengan mengaitkan firma APCO Worldwide dan Israel dengan konsep 1Malaysia.

Usul itu diluluskan selepas dibahaskan kira-kira jam. Sebelah pagi tadi, usul tersebut dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Pembentangan usul itu pagi ini mencetuskan pertikaman lidah antara wakil rakyat Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Hari ini hari terakhir Dewan Rakyat bersidang.

Usul itu yang dibahaskan sejak 10 pagi tadi diluluskan pada 3.05 petang apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan sesi penggulungan usul itu selepas anggota pembangkang seringkali mengganggu beliau untuk mendesak supaya usul itu ditarik balik.

Ini menyebabkan persidangan dewan sekali lagi kecoh sebelum kebanyakan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee kemudiannya meneruskan persidangan dengan proses undian yang menyaksikan usul itu mendapat sokongan.

Terdahulu Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali memberitahu pembentangan usul berkenaan kelihatan ‘cacat’ sebab ia mengandaikan Anwar sudah pun bersalah sebelum menghadap jawatankuasa berkenaan.

“Berdasarkan usul ini, Dewan sudah pun menghukum Anwar sebelum dirujuk kepada jawatankuasa,’ kata Azmin.

“Bagaimana jawatankuasa ini boleh bertindak bebas dan tanpa bias memandangkan terma rujukan usul tidak jelas,” kata wakil rakyat Gombak ini.

Bagaimanapun menurut Nazri, keputusan untuk merujuk Anwar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bukan satu bentuk hukuman.

Anwar pula memberitahu, beliau sudah pun mengetahui keputusaan itu sambil mendakwa beliau sentiasa menjadi “kes khas” apabila membabitkan isu-isu yang menyentuh dirinya.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu merujuk kepada kes Pengerusi DAP pada 2004 di mana wakil rakyat itu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk menentukan sama ada bersalah ataupun sebaliknya.

Sementara itu, pada sidang media kemudian, Anwar menekankan bahawa usul tersebut adalah tidak adil.

“Peraturan Mesyuarat 36(12) adalah jelas di mana anda merujuk seseorang anggota Dewan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, tetapi dalam kes ini usul oleh menteri adalah jelas, bukan sahaja merujuk kepada jawatankuasa tetapi juga mengesyorkan bahawa Permatang Pauh sudah bersalah dengan meminta jawatankuasa mengambil tindakan hukuman yang khusus,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, Pakatan Rakyat tidak menyertai proses pengundian kerana usul tersebut memperlihatkan “kecacatan.”

“Jika kita mengambil bahagian dalam pengundian, bermakna kami terima usul.

“Sedangkan Speaker tidak memberikan jaminan, tetapi jaminan dan tafsiran Speaker bercanggh dengan usul. Pun begitu ini adalah Parlimen Malaysia, kezaliman majoriti,” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar berkata, beliau akan menghadiri perbicaraan jawatankuasa itu dan menyediakan bukti-bukti yang relevan.

Bagaimanapun kata Anwar, beliau akan berbincang dengan anggota jawatankuasa daripada kalangan Pakatan Rakyat.

“Saya merasakan saya akan mengambil apa yang diperkatakan oleh Speaker bahawa beliau akan memohon saksi-saksi dan dokumen-dokumen sewajarnya dikemukakan. Saya ingin melihat dokumen apa yang dibenarkan,” katanya.

Anwar juga mengesahkan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ini akan dipengerusikan oleh Kiandee manakala Pakatan Rakyat akan diwakili oleh Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa dari Parti Keadilan Rakyat.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud