Tindakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan yang mencium tangan para pemimpin UMNO ketika bersalaman menunjukkan bahawa beliau tahu adat resam, budaya dan budi bahasa masyarakat Melayu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, helah pembangkang yang sanggup memutarbelitkan fakta tersebut dan mengatakan bahawa tindakan Kamalanathan itu menunjukkan bahawa MIC tunduk kepada UMNO, menunjukkan bahawa pembangkang sudah kehabisan modal.
Muhyiddin berkata, jika hendak dibandingkan Kamalanathan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim, Ketua Penerangan MIC itu jauh lebih baik daripada segi budi bahasa.
"Saya tak suruh dia cium tangan saya, tetapi beliau berbuat begitu mungkin kerana dia sudah faham, bagi saya calon ini amat merendah diri, tidak meninggi hidung, hormati semua pemimpin.
"Kalau dia beri salam pada pihak lain, bertemu dengan orang lain sama ada cium tangan atau tidak, itu tiada apa, mungkin itu adat Melayu yang biasa. Adat lain mungkin tak biasa, bagi saya itu bukan kerana kehendak kita tetapi menjadi satu kebiasaan yang beliau hormati orang tua,” katanya. – Bernama