GEORGETOWN, 4 Mac: Apa yang ditulis dalam Berita Harian (BH) semalam kononnya 'Orang Melayu Pulau Pinang Semakin Terpinggir' ibarat meludah ke langit akhirnya terkena batang hidung kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sendiri.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut kesal terhadap penyiaran berita bermotif memburuk-burukan Kerajaan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak pandai memerintah serta bersikap tidak mempedulikan orang Melayu Islam sehingga sanggup merampas hak mereka yang berniaga, meroboh gerai serta berlakunya kemerosotan ekonomi golongan minoriti itu sehingga menyebabkan mereka berpindah ke negeri lain.
"Apa yang berlaku bukan salah Kerajaan Pakatan Rakyat sekarang sebaliknya Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana dasar yang menjadi amalan kerajaan terdahulu menyebabkan gejala tersebut berlaku.
“Kita baru dua tahun memerintah mana mungkin boleh melakukan kezaliman sedemikian rupa dan kita tidak akan mengamalkan dasar yang sama dengan BN," tegas beliau dalam sidang media di pejabatnya, semalam.
Katanya, penghijrahan orang Melayu berlaku sejak dulu lagi apabila Umno yang berkuasa tidak bertindak membantu masyarakat Melayu khususnya di Balik Pulau, Bayan Baru, Jelutong, Tanjung Bungah dan banyak lagi tetapi menekan dari belakang dengan memberi peluang golongan elit dalam Umno menikmati kemewahan manakala orang bawahan dibiarkan menderita kehilangan kampung halaman.
“Siapa yang harus dipersalahkan bila bilangan Melayu semakin mengecil melainkan Umno yang merupakan juara Melayu atau tulang belakang perjuangan orang Melayu. Orang ramai akan bertanya apa yang mereka laksanakan demi kebaikan masyarakat Melayu sepanjang 50 tahun memimpin bersama komponen dalam BN,” katanya.
Umno yang mempunyai 11 kerusi dan empat orang Exco Kerajaan BN termasuk seorang Timbalan Ketua Menteri dahulunya tidak berjaya membawa Melayu keluar dari kepompong cuba sekadar mengheret tangan-tangan yang rapat dengan kroni sahaja.
"Umno hanya berjaya meningkatkan tahap sosial ekonomi Melayu Umno sahaja bukan rata-rata bangsa Melayu yang berada di bawah, " katanya.- Harakahdaily