ARTIKEL SEBELUM

26/01/10

Saya sedia tarik balik laporan polis terhadap Khalid Samad dengan syarat...Zul




“Saya sedia tarik balik laporan polis terhadap Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam) dengan syarat, beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Islam negara ini dan Sultan Selangor,” kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin.

Menurutnya, beliau sentiasa menghargai perbezaan pendapat dalam parti komponen Pakatan Rakyat (PR), namun tidak semestinya melampaui batas sehingga menyentuh isu keagamaan.

“Semasa Konvensyen PR tahun lalu, pemimpin parti sendiri mengumumkan Dasar PR untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, menghormati kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu dan orang Melayu dalam negara ini. Tapi kini, apakah pendirian Khalid?” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau turut mengesahkan menerima e-mel daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan penjelasan berhubung laporan polis yang dibuatnya.

“Saya sudah pun memberi penjelasan juga melalui e-mel kepada beliau dan menjelaskan bahawa saya tetap dengan pendirian saya,” katanya.

Sebagai pemimpin Melayu, katanya, Anwar seharusnya mengambil sikap neutral dengan tidak menyokong mana-mana pihak.

“Walaupun dia mengambil keputusan menyokong Kristian, dia perlu neutral,” katanya.

Ditanya pendapat Anwar yang melabelkan beliau sebagai angkuh dan tidak menghormati pendirian orang lain, Zulkifli berkata, beliau yakin kenyataan itu bukan dari beliau kerana beliau bukan jenis macam itu.

“Beliau berhak untuk mengambil tindakan kerana dia adalah pemimpin parti dan saya juga berhak mempertahankan diri saya mengikut ruang yang sedia ada,” katanya.

Khalid dalam sebuah portal berita baru-baru ini menyifatkan undang-undang Islam yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman dengan alasan semasa undang-undang itu diluluskan kemungkinan tahap fahaman umat Islam terhadap agama begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

Tindakan Ahli Parlimen Shah Alam itu mendorong Zulkifli membuat laporan polis setelah Khalid tidak memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam sebagaimana yang dituntut olehnya.

Beliau berharap Khalid akan turut dikenakan tindakan parti kerana kenyataan itu didakwanya satu penghinaan.

“Kenyataan Khalid seolah-olah menghina kesucian Islam tidak dapat diterima dan jika nak berhujah, berhujahlah... Janganlah sampai hina agama dan orang Islam. Dia panggil saya anjing, saya tak kisah, tapi kali ini sudah melampau,” katanya. sh

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud