ARTIKEL SEBELUM

26/01/10

PKR, PAS di Perak tak mampu kekal kerusi Mac 2008?


Tidak perlu ulangan kejadian rampas kuasa? — gambar hiasan


KUALA LUMPUR, Jan 26 - Di sebalik pelbagai ramalan mengenai tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-13, salah seorang wakil rakyat yang keluar Pakatan Rakyat (PR) awal tahun lalu, menjangkakan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mampu untuk mengekalkan kerusi yang mereka menang Mac 2008.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan menjangkakan jika Umno-BN “bekerja kuat”, kedua-dua komponen PR itu hanya boleh mempertahankan kira-kira 50 peratus kerusi dikuasai ketika pilihan raya umum ke-12.

Jangkaan itu dikongsi oleh Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, yang keluar PKR untuk menjadi wakil rakyat Bebas, sekali gus membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri pimpinan PR awal Februari 2009.

Justeru kata Jamaluddin, beliau menjangkakan DAP boleh mengekalkan 18 kerusi yang dimenangi mereka.

Umno memperoleh 27 daripada 34 kerusi yang ditandingi. Salah satu komponen BN, MCA mendapat satu kerusi, menjadikan BN memiliki 28 kerusi iaitu kurang tiga kerusi untuk kekal memerintah Perak pada Mac 2008.

Komponen-komponen BN yang lain kalah teruk.

“Keputusan pilihan raya umum Mac 2008 menunjukkan ada kawasan yang (BN) kalah dengan undi kecil, ada kawasan yang (Pakatan) menang dengan undi yang sedikit.

“Jadi, kalau BN buat kerja baik sikit, khususnya Umno melipatgandakan usaha mereka, Umno boleh menang di kesemua 34 kerusi yang ditandingi pada 2008... bermakna tinggal baki tujuh yang menjadi rebutan antara PKR dan PAS.

“Kalau begitu keadaan, fikir di mana kedudukan PKR dan PAS dalam pilihan raya akan datang... saya yakin DAP akan menang di semua kerusi yang ditandingi pada 2008, yang kebanyakannya terletak di kawasan Lembah Kinta,” kata beliau.

Antara kerusi PR yang dimenang dengan perbezaan undi tipis ialah Lubok Merbau. Calon PAS Mohd Zainudin Mohd Yusof menewaskan wakil BN-Umno, Jamal Nasir Rasdi dengan perbezaan 72 undi.

Bagaimanapun ada juga kerusi yang dimenangi calon BN dengan undi yang sedikit. Misalnya kerusi Pengkalan Baharu yang dimenangi Hamdi Abu Bakar dengan kelebihan 14 untuk menewaskan Abu Bakar Hussain dari PAS.

Jamaluddin, bekas timbalan pengerusi PKR Perak dan Tanjung Malim membuat perkiraan jika Umno dapat mengekalkan kesemua 34 kerusi yang ditandinginya bermakna PKR hanya boleh berkongsi baki tujuh kawasan yang ada dengan PAS.

“Kalau ini berlaku apa kekuatan yang PKR dan PAS ada pada pilihan raya umum ke-13?” kata beliau sambil menambah, Umno-BN boleh mendapatkan balik Perak jika wakil rakyat mereka berkhidmat dengan mesra dan ikhlas.

“Orang mengundi pembangkang pada pilihan raya 2008 bukan kerana tidak suka BN, Pakatan menang bukan kerana Pakatan kuat tetapi kelemahan BN sendiri... dengan pemimpin mereka yang sombong dan angkuh... ini menyebabkan rakyat marah.

“Perkara ini saya selalu maklumkan kepada kepimpinan BN, perlu diberi perhatian jika mahu menang semula di Perak.

“Saya tak nampak kalau buat kerja dengan betul, Umno boleh menang di kesemua 34 kerusi, dan mungkin MIC, MCA dan Gerakan juga boleh menang di kerusi masing-masing... jadi ada peluang tetapi syaratnya pemimpin BN jangan angkuh, jangan sombong,” katanya.

Selain Jamaluddin, Mohd Osman Mohd Jailu dari Changkat Jering, juga pemimpin PKR dan Hee Yit Foong dari DAP, meninggalkan parti masing-masing untuk bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Bagaimanapun Jamaluddin yang ditanya sama ada beliau dan dua rakannya itu berhasrat menyertai BN berkata, mereka tidak memikirkan perkara itu buat masa sekarang.

Pada Mac 2008, DAP menang di semua 18 kerusi yang ditandinginya. PKR mendapat tujuh kerusi manakala PAS pula enam.

Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai 59 kerusi.

Wakil PAS iaitu Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin menjadi menteri besar Perak dengan kerjasama DAP-PAS-PKR.

Minggu lalu, Nizar mengakui sokongan orang Melayu terhadap DAP, PAS dan PKR di Perak telah merosot terutama di kawasan pedalaman.

Menurut beliau ia berpunca daripada isu seperti kononnya semasa beliau Menteri Besar beliau adalah boneka DAP, dan kononnya telah menderhaka kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Namun, Nizar berkata pada keseluruhannya sokongan rakyat terhadap pakatan itu tidak luntur dan jika pilihan raya diadakan mereka yakin menang.

Nizar mengulangi bahawa krisis yang berlaku di negeri itu boleh diselesaikan melalui pilihan raya negeri dan meminta Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memohon perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN.

Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan terhadap rayuan Nizar berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah, 9 Feb ini.MI



posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud