ARTIKEL SEBELUM

26/01/10

MP Zul: Firaun-firaun kecil PKR mula cincang saya


KUALA LUMPUR, Jan 26 — Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu Zulkifli Noordin, yang kemungkinan besar dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin PKR, mendakwa beliau telah “dijatuhkan hukuman” walaupun belum ada sebarang prosiding untuk menyiasatnya berhubung aduan agar polis menyiasat wakil rakyat PAS, Khalid Samad di bawah Akta Hasutan.

Zulkifli mengatakan demikian ketika Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mengadakan mesyuaratnya, yang antara lain membincangkan isu beliau.

“Melihat kepada kenyataan akhbar yang riuh dibuat adalah jelas hukuman sudah pun dijatuhkan kepada saya walaupun belum lagi ada apa-apa prosiding dibuat terhadap saya.

“Kelihatan firaun-firaun kecil mula menyalak sana sini menuntut kepala saya dipancung!” kata beliau dalam tulisan blognya hari ini.

Mesyuarat Biro Politik turut dihadiri penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dijangka menemui wartawan dalam lingkungan 2 petang ini.

Zulkifli telah menjawab surat penjelasan Anwar berhubung tindakannya membuat laporan terhadap Khalid yang merupakan ahli Parlimen dan Yang Dipertua PAS Shah Alam.

“Dosa saya: hanya kerana mempertahankan kalimah suci Allah daripada disiat-siut dan dicemar oleh golongan yang terlalu mempertuhankan politik.

“Politik menghalalkan segala cara walaupun perlu menggadai anak bini, politik itu tuhan walaupun Allah terpaksa di pijak,” katanya.

Peguam itu menambah sejak perjuang untuk Islam beliau sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Dari zaman saya mula mengenal Islam sebagai suatu addeen yang indah dan benar, saya sudah bersedia untuk menerima hakikat saya akan menerima pelbagai cabaran dan halangan.

“Lebih banyak dugaan dan cubaan, lebih saya bersyukur kepada Allah. Sedangkan Nabi kekasih Allah melalui ujian yang maha hebat, inikan insan kerdil saperti saya,” katanya.

Cuma peliknya, kata Zulkifli, sehingga saat beliau mengisi blognya hari ini, beliau masih belum menerima apa-apa notis untuk menghadiri apa-apa prosiding jawatankuasa disiplin atau Biro Politik, yang dikatakan akan bersidang hari ini untuk menentukan tindakan terhadapnya.

“Sedang firaun-firaun kecil ini sudah pun dalam proses mencincang lumat saya di dalam media sana sini, tapi sehingga kini saya tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan atau hak membela diri,” katanya.

“Yang saya diberitahu, cuma ada satu taklimat khas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk semua wakil rakyat dan pimpinan tertinggi PKR pagi ini berkaitan kes liwat yang akan bermula minggu depan.

“Itupun saya telah maklumkan saya tidak dapat hadir kerana sudah ada program terdahulu yang tidak dapat saya batalkan,” katanya.

Sehubungan itu kata Zulkfili, beliau tidak akan berkompromi walau setitik dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.malaysiainsider




posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud