ARTIKEL SEBELUM

12/12/09

ADUN Melor masuk wad

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Ismail Wan Jusoh yang baru tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini petang ini dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Beliau yang tiba dari Mekah selepas menunaikan ibadah haji November lalu dikatakan menghidapi hepatitis B.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Zaki Ibrahim ketika ditemui di LTSIP di sini berkata, keadaan Wan Ismail adalah lebih baik berbanding di Mekah apabila beliau dilaporkan sedang uzur.

"Sebelum ini beliau memang menghadapi hepatitis B. Beliau uzur sewaktu berada di Mekah namun seperti kita lihat tadi keadaannya semakin pulih," katanya.

Ketibaan Wan Ismail pada kira-kira 4.15 petang disambut oleh ahli keluarganya dan beberapa pemimpin Pas Kelantan.

Beliau sebelum ini dirawat di Hospital Malaysia Aziziah di Mekah.

Sebaik tiba, Wan Ismail segera dimasukkan ke dalam ambulans HUSM untuk dibawa ke hospital berkenaan.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengesahkan Wan Ismail telah menghubunginya dari tanah suci memaklumkan keadaan kesihatan beliau.

Sementara itu, Zaki berkata, kerajaan negeri akan menunggu laporan rasmi kesihatan Wan Ismail sebelum membuat sebarang kenyataan.

"Kita minta semua rakyat mendoakan beliau cepat sembuh supaya dapat meneruskan kerjanya sebagai seorang wakil rakyat," tambahnya.




posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud