ARTIKEL SEBELUM

17/11/09

SPR dicadang diletak bawah parlimen


KUALA LUMPUR, 17 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diletakkan dalam jawatankuasa khas di bawah parlimen bagi memastikan ia bertindak mengikut perlembagaan dan proses undang-undang di negara ini.

Mahfuz berkata, seluruh struktur SPR juga mesti dirombak dan disusun semula bagi mengelakkan suruhanjaya itu dipengaruhi oleh badan eksekutif sehingga menyebabkan ia tidak rasional dalam membuat sebarang keputusan.

"Kedudukan SPR harus dirombak bukan sahaja orangnya tetapi strukturnya.Institusi itu mesti dilihat tidak dikuasai oleh eksekutif yang menyebabkan ia tidak rasional.Sebab itu bagi saya SPR harus diletakkan dalam jawatankuasa khas di bawah parlimen untuk pastikan sebarang tindakan yang dilakukan rasional dan mengikut perlembagaan dan proses undang-undang yang terdapat dalam negara kita," katanya kepada pemberita di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh kosong dan satu pilihanraya kecil perlu diadakan untuk mengisi kekosongan tersebut.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar.

Keputusan suruhanjaya itu bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong juga perlu dibatalkan.

Alizatul juga dilaporkan juga sebagai berkata, SPR tidak boleh mengatasi kuasa speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, dalam siri pilihanraya sebelum ini, Pakatan Rakyat seringkali berhadapan dengan sikap tidak rasional SPR yang dilihat tidak serius dalam usaha membaik pulih sistem pilihan raya di negara ini.

"Kita (Pakatan Rakyat) berhadapan selama ini dengan sikap SPR yang tak rasional.Setiap kali kita buat bantahan, buat aduan, SPR kata mereka bertindak mengikut undang-undang.Mereka hanya bersandarkan kepada undang-undang yang tidak diusahakan agar dibaikpulih sistem perundangan berkaitan pilihanraya," katanya.

Mahfuz juga berkata, Mahkamah seharusnya juga membuat keputusan yang sama terhadap permohonan Speaker DUN Perak, V Sivakumar untuk semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang masih mengekalkan kerusi tiga adun yang melompat menjadi adun bebas di negei itu awal Februari lalu.

Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Mahfuz juga menyatakan kesediaan PAS untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud