Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tahu sangat mengenai ekonomi.
“Bercakap memang pandai tetapi pasal ekonomi dia tak tahu,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai pelantikan Anwar sebagai penasihat ekonomi kerajaan Selangor dengan bayaran elaun simbolik RM1 sebulan.
Dr Mahathir berkata bahawa semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan ketika berlaku krisis kewangan, Anwar telah menerima pakai pendekatan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang memburukkan lagi keadaan di negara ini.
“Jika kamu mahu lihat negeri Selangor muflis, dia (Anwar) seorang penasihat yang bagus untuk itu,” katanya dalam nada sinis selepas menyampaikan ceramah dalam Siri Syarahan Tokoh Terkemuka Institut Asia Eropah di Hotel Nikko.
Dr Mahathir berkata, pemilihan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi adalah satu perkara yang 'menakjubkan' kerana bekas Menteri Kewangan itu telah menyebabkan ekonomi Malaysia jatuh menjunam ketika krisis ekonomi melanda negara ini pada tahun 1998.