KUALA LUMPUR – Penantian 61 tahun skuad Negeri Sembilan akhirnya berbaloi apabila menjuarai Piala Malaysia edisi ke-84 di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas mengalahkan Kelantan 3-1 sebentar tadi.
Gol skuad Rusa dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah (m-17), Hairudddin Omar (m-46) dan Mohd. Zaquan Adha Radzak (pen, m-59).
Kali terakhir Skuad Hoben Jang Hoben membawa pulang piala itu ialah pada tahun 1948 yang ketika itu dikenali sebagai Piala HMS-Malaya.
Kelantan yang merupakan pasukan favorite dilihat lemah dalam melakukan penyudah untuk mencari gol di samping pertahanan yang longgar untuk memberi peluang kepada pemain Negeri Sembilan menyumbat gol.
Namun bintang Kijang, Indra Putra Mahayuddin berjaya memperoleh gol saguhati pada masa kecederaan m-93 melalui sepakan percuma.
Kapasiti 85,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil yang majoritinya dipenuhi dengan penyokong Kelantan turut diwarnai dengan pelbagai kejadian yang kurang menarik termasuk beberapa kerusi penonton dibakar selain botol air minuman dan mercun dibaling ke dalam padang.