SOALAN 1 :
Setiap bulan Ramadhan, sebahagian umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat tarawikh dan kemudian diakhiri dengan sembahyang sunat witir. Saya ingin tahu, apakah yang dimaksudkan dengan sembahyang Witir dan apakah ianya khusus untuk bulan Ramadhan sahaja atau bolehkah dikerjakan pada bulan-bulan yang lain?
JAWAPAN Sembahyang Witir adalah sembahyang yang bilangan rakaatnya ganjil, iaitu satu, tiga, lima, tujuh, sembilan, dan sebelas. Sekurang-kurang rakaat ialah satu, dan sebanyak-banyaknya ialah 11. Tidak boleh lebih daripada itu. Sembahyang Witir boleh dikerjakan pada bila-bila masa saja. Ertinya, tidak khusus untuk bulan Ramadhan saja. Waktu mengerjakannya ialah selepas sembahyang Isyak sehingga sebelum terbit fajar.
HURAIAN Sebaiknya sembahyang Witir ini dilakukan sebagai ibadah penutup sembahyang malam. Ertinya jika kita bercadang untuk melakukan sembahyang tahajjud atau hajat sebelum terbit fajar maka witir itu dilakukan selepas sembahyang-sembahyang itu.
SOALAN 2 :
Benarkah sembahyang witir itu lebih afdhal (utama) daipada sembahyang tahajjud? Kalau benar, apakah dalilnya? JAWAPAN Memang benar bahawa sembahyang witir lebih afdhal daripada sembahyang tahajjud. Diantara dalilnya ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Jadikanlah witir (sebagai) akhir sembahyang kamu pada waktu malam." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadis lain menerangkan pula, maksudnya: "Sesungguhnya Allah S.W.T. telah membantu kamu dengan satu sembahyang yang lebih baik daripada unta-unta bewarna merah iaitu sembahyang witir." (Riwayat Abu Daud dan lain-lain) Unta bewarna merah adalah sangat berharga bagi orang arab pada zaman dahulu. Perlu dinyatakan di sini bahawa jika seseorang telah mengerjakan sembahyang witir selepas sembahynag isyak, kemudian bertahajjud, maka dia tidak boleh lagi sembahyang witir pada malam itu. Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud dan lain-lain yang bermaksud; "Tidak ada dua (kali) witir pada satu malam."
HURAIAN Sungguhpun witir lebih afdhal, ia tidak boleh dilakukan bersendirian tanpa sembahyang sunat yang lain
SOALAN 3 :
Saya dapati ada sebilangan Imam mengerjakan sembahyang witir tiga rakaat dengan dua salam dan ada juga yang mengerjakan dengan satu salam sahaja. Cara yang manakah lebih afdhal menurut Mazhab Shafie
JAWAPAN : Cara mengerjakan sembahyang witir yang lebih afdhal menurut Mazhab Shafie ialah dengan memberi salam bagi setiap dua rakaat, kecuali pada rakaat terakhir satu rakaat satu malam. Dengan demikian, kalau kita mengerjakan sembahyang witir tiga rakaat, maka yang lebih afdhalnya ialah dengan dua salam. Kalau mahu mengerjakan dengan satu salam tidak mengapa, cuma pada rakaat kedua jangan dibacakan tasyahud (tahiyat) awal. Ini supaya berbeza dengan sembahyang Maghrib. Jika dikerjakan seperti sembahyang Maghrib, maka hukumnya makruh menurut Mazhab Shafie.
Dalam hal ini, Syaidatina Aishah r.a. berkata maksudnya: "Adakah Nabi s.a.w. sembahyang witir di antara sembahyang Isyak dengan terbit fajar sebelas rakaat. Baginda memberi salam tiap-tiap dua rakaat dan penghabisannya satu rakaat." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Jadi, adalah lebih afdhal kalau mengerjakan sembahyang witir seperti yang dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w. kerana dengan cara itu ada banyak kelebihannya, iaitu banyak niat, banyak takbir, dan banyak salam.