ARTIKEL SEBELUM

7/01/16

Umno mahu Pas kaji semula keputusan Majlis Syura

SHAH ALAM – Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berharap pimpinan tertinggi Pas dapat mempertimbangkan semula pendirian Majlis Syura Ulamanya yang kekal dengan keputusan lama iaitu untuk tidak menyertai BN atau bersama Umno.

Beliau berkata Umno sememangnya ikhlas dalam perkara itu dan sepatutnya ia perlu diperhalusi terlebih dahulu melalui pertemuan atau perbincangan tidak rasmi sebelum membuat sebarang keputusan yang boleh merugikan masa depan orang Melayu dan Islam.

“Umno menghormati keputusan Pas namun parti ini juga bukan sebuah parti picisan yang perlu merayu untuk menjalin kerjasama dengan parti Islam itu.

"Umno (masih) merupakan parti terbesar mewakili orang Melayu dan kita masih berkeupayaan untuk membentuk kerajaan yang dinamik menerusi gagasan BN,” katanya dalam entri terbaru di laman blognya.

Beliau mengulas pendirian Majlis Syura Ulama yang memutuskan bahawa Pas tidak akan bergabung dengan Umno, sebaliknya hanya mengadakan kerjasama mengikut konteks Islam dalam perkara kebaikan dan ketakwaan kepada ALLAH‎.

Perkara itu disahkan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memberitahu bahawa Majlis Syura Ulama akan kekal dengan keputusan lama iaitu tidak menyertai BN atau bersama Umno.

Mengulas lanjut, Syed Ali juga berkata, perkembangan itu membuktikan Pas tidak pernah ikhlas untuk menzahirkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu berasaskan kepada semangat politik.

“Mereka (Pas) jelas tidak mempunyai iltizam untuk berusaha membawa penyatuan umat berasaskan kepentingan masa depan orang Melayu,” tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata lagi, keputusan Majlis Syura Ulama Pas itu tidak mencerminkan prinsip asas parti itu yang kononnya berjuang atas landasan Islam.

“Umno realistik dan ikhlas untuk melihat orang Melayu dan umat Islam bersatu menerusi bentuk kerjasama itu, tetepi malangnya Pas bertindak sebaliknya,” katanya lagi.- SH

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud