ARTIKEL SEBELUM

23/01/16

Qu Puteh: Jangan panik, produk lain selamat

Syarikat Vida Beauty Sdn Bhd, menarik balik dua produk mereka iaitu Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block di pasaran Malaysia dan Brunei buat sementara waktu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata, pengeluaran dua produk tersebut dihentikan serta-merta buat sementara waktu.

"Ini bagi membolehkan kita melakukan penelitian terperinci terhadap dua produk tersebut," katanya seperti dilaporkan Mstar Online.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dikesan mengandungi merkuri, yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan kepada pengguna bahawa produk kecantikan dan kesihatan yang lain seperti Pamoga, Qu Puteh Advance Set dan Millenia masih selamat untuk digunakan.

"Walaupun dua produk tersebut dihentikan buat sementara waktu, saya yakin produk lain masih selamat untuk digunakan.

"Oleh itu, pengguna jangan ragu dan panik terhadap isu tersebut. Apa yang penting kami mementingkan kesihatan pengguna," katanya dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata produk itu sudah diuji pihak kementerian dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

"Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan sudah menerima laporan kesan advers daripada pengguna yang mengalami tinnitus (ringing in the ears) dan keguguran rambut setelah menggunakan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block (NOT151106645K) selama lebih kurang tiga bulan.

"Pengguna pulih daripada kesan yang dialami apabila berhenti menggunakan produk berkenaan. BPFK telah membuat persampelan dan menguji produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block.

"Hasil ujian menunjukkan, satu produk iaitu produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dikesan mengandungi merkuri pada paras yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Malaysia, kerajaan Brunei terlebih dahulu dilaporkan mengharamkan penjualan beberapa produk kosmetik dan kesihatan termasuk dua produk jenama Qu Puteh susulan didakwa mengandungi bahan berbahaya.

The Brunei Times melaporkan, ujian dijalankan Jabatan Perkhidmatan Farmasi itu mendapati krim pemutih Qu Puteh Whitening Pro 9, Qu Puteh Whitening UV Block mengandungi kandungan merkuri.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud