ARTIKEL SEBELUM

16/12/15

Pertemuan Najib, Hadi tak boleh dielak

SHAH ALAM - Pertemuan dua pemimpin utama parti Melayu Islam antara Umno dan Pas tidak boleh dielakkan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka menghadiri Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia, esok.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata walaupun pertemuan itu bukan satu bentuk 'kerjasama', namun kehadiran kedua-dua pemimpin itu dinantikan oleh semua pihak.

"Sudah tentu pertemuan itu akan berlaku dalam majlis yang dihadiri oleh kedua-dua pihak, sudah pasti akan berlaku.

"Kita tunggu saja apa yang akan dirumuskan dalam multaqa esok yang turut disertai beberapa pimpinan parti (Pas) untuk mengisi slot disediakan," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau mengulas pertemuan kali pertama itu selepas Najib mempelawa Pas untuk menjalinkan silaturahim membangunkan negara mengikut syariat Islam semasa ucapan penggulungan pad Perhimpunan Agung Umno 2015, minggu lalu.

Pertemuan kedua-dua pemimpin itu dijadualkan akan menghadiri Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, Najib selaku Perdana Menteri akan merasmikan program tersebut, manakala Abdul Hadi selaku Presiden Pas pula akan menyampaikan ucaptama.

Selain itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar Nik Abdullah turut mengisi slot forum tersebut manakala bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa pula akan berucap mewakili Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Ketika ditanya mengenai pertemuan pucuk pimpinan Pas dengan Umno dalam masa terdekat berhubung cadangan Najib itu, Mahfuz bagaimanapun berkata beliau tidak mengetahui mengenainya.

"Itu saya tiada maklumat, kalau mereka buat pertemuan pun mungkin di belakang tabir, itu saya tidak tahu," katanya secara ringkas.

Mahfuz berkata lagi, sebarang kerjasama itu memerlukan rundingan dan perbincangan kedua-dua pucuk pimpinan parti sebelum mana-mana pihak meletakkan syarat.

"Soal MCA meletakkan syarat-syarat, maka saya percaya bahawa pimpinan Umno dan Pas sudah tentu mempunyai hasrat melakukan perundingan terlebih dahulu.

"Saya percaya perundingan saja akan menyelesaikan masalah berbangkit dan hasrat Datuk Seri Najib untuk merealisasikan kerjasama itu," jelasnya.

Mahfuz turut tidak menolak kemungkinan kerjasama itu akan menyentuh agenda kepentingan orang Melayu dan Islam.

"Itu terpulang kepada kepimpinan parti apa yang harus dia fikir, apakah masalah berbangkit orang Melayu dan orang Islam berhadapan dengan ancaman bukan Islam.

"Ataupun perkara itu tak pernah wujud, hanya provokasi politik semata-mata," katanya lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud