ARTIKEL SEBELUM

21/12/15

Lelaki ditahan sebabkan kanak-kanak mati dalam tandas



KLANG - Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan selepas didapati menyebabkan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mati dalam keadaan menyedihkan di dalam tandas di sebuah rumah di Lorong Halimah, Jalan Sungai Udang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak berkata, badan kanak-kanak itu ditemui berbalut dengan tuala putih kira-kira pukul 7.10 malam tadi dipercayai dibunuh oleh teman lelaki ibunya yang berusia 39 tahun.

"Hasil siasatan mendapati, turut ditemui dalam rumah berkenaan ialah rotan, sebatang mop dan paip pvc dipercayai digunakan untuk mendera mangsa. Selain itu, hasil pemeriksaan ke atas mangsa turut menemui kesan luka yang lama akibat didera di bahagian kiri kepala, mulut dan hidung berdarah.

"Kita percaya kanak-kanak itu sudah meninggal dalam tempoh lebih sehari. Berdasarkan maklumat, suspek merupakan teman lelaki ibu mangsa yang kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bersalin," katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Menceritakan lanjut mengenai kejadian itu, Azman sebelum itu menyatakan pihaknya menerima aduan daripada jiran suspek berusia 29 tahun yang meminta untuk melupuskan mayat mangsa yang dipercayai meninggal dunia sejak sehari lalu.

"Seramai 15 orang saksi di dalam rumah terbabit dipanggil bagi membantu siasatan mengenai kejadian tersebut. Kita percaya suspek utama yang ditahan terlibat dalam kejadian itu berdasarkan keterangan yang diperolehi daripada saksi-saksi.

"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," jelasnya.

Mayat mangsa telah dibawa ke HTAR untuk proses pengecaman oleh ibunya dan untuk proses bedah siasat. KO




posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud