ARTIKEL SEBELUM

12/12/15

Kedah dan Selangor punyai misi tersendiri

SHAH ALAM: Barisan pemain Selangor tidak menghadapi sebarang tekanan tetapi sebaliknya teruja untuk melayan Kedah pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam di sini, malam ini.

Ketua pasukannya Shahrom Kalam berkata pasukannya tidak terasa tertekan kerana kekuatan pasukan itu tidak bergantung kepada mana-mana individu tetapi kemampuan pasukan secara menyeluruh.

"Semua pemain tahu peranan masing-masing. Kita juga tidak menghadapi sebarang tekanan sebaliknya teruja apabila layak ke final," katanya pada sidang media menjelang perlawanan final itu di sini hari ini.

Menurutnya biarpun tidak tertekan beraksi di laman sendiri, namun tidak memandang mudah pasukan Kedah kerana mereka memiliki barisan penyerang yang mampu merobek gawang lawan.

Justeru, benteng pertahanan Selangor mempunyai tugas berat untuk mengekang pergerakan barisan depan pasukan lawan, katanya.

Sementara itu, kapten Kedah, Khairul Helmi Johari berkata pasukan telah memperbaiki banyak kelemahan semasa latihan dengan memberi tumpuan kepada benteng pertahanan.

"Kami juga tidak boleh memberi ruang kepada Selangor untuk mencipta peluang melakukan jaringan,"katanya pada sidang media bersama itu.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu pada aksi final edisi 2008 di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menyaksikan Kedah muncul juara menerusi kemenangan tipis 3-2.

Kali terakhir Selangor memenangi Piala Malaysia pada 10 tahun lepas, iaitu pada tahun 2005. Selangor juga mempunyai tugas berat untuk merealisasikan misi kali ke-33 untuk menjulang Piala Malaysia itu.

Peluang seimbang

Dalam pada itu, beberapa bekas jurulatih dan bekas pemain kebangsaan mempunyai pandangan berbeza ke atas perlawanan berkenaan memandangkan dua pasukan berkenaan tidak diletakkan sebarang harapan untuk melangkah ke akhir Piala Malaysia, musim ini.

Bagi bekas pengendali pasukan UiTM FC, Mohd Azuan Mohd Zain mengakui Kedah berkelebihan muncul juara menerusi persembahan cemerlang dua awang import mereka iaitu Sandro Da Silva dari Brazil dan Chidi Edeh dari Nigeria yang sudah meledak 33 gol keseluruhan bersama Kedah dalam semua pertandingan, setakat ini.

Selain itu, katanya, skuad Helang Merah mempunyai banyak pemain muda yang mempamerkan aksi memukau dalam saingan Piala Malaysia seperti Mohd Rizal Ghazali, Muhammad Farhan Roslan selain Muhammad Syafiq Ahmad yang mewakili skuad Bawah 23 negara pada Sukan SEA Singapura, Jun lalu.

Berbeza pula dengan pandangan bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan yang menyifatkan kelebihan beraksi di laman sendiri membantu Selangor menamatkan "Misi 33" mereka yang sekian lama tertangguh.

Beliau bagaimanapun menjelaskan corak permainan yang diamalkan kedua-dua pasukan tidak jauh berbeza iaitu hantaran bola pendek selain persefahaman yang baik antara kesemua pemain.
"Bagi saya, susah hendak ramalkan siapa juara kerana saya lihat kedua-dua pasukan ini tidak mempunyai pemain bintang yang mempunyai skil individu berbanding Pahang dan Johor Darul Ta'zim.

"Cuma kelebihan beraksi di tempat sendiri akan membantu Selangor namun secara kasarnya, saya lihat kedua-dua pasukan mempunyai corak persembahan yang tidak jauh bezanya," kata Sathianathan yang pernah mengendalikan beberapa pasukan tempatan.

Ketua jurulatih sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee pula berpandangan kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk menjulang Piala Malaysia.

Kedah, katanya, mempunyai kombinasi pemain muda yang mempamerkan aksi cemerlang selain turut menunjukkan peningkatan dalam corak permainan sejak menjuarai Liga Perdana, manakala Selangor mempunyai barisan pertahanan yang mantap selain mempunyai keazaman yang sangat tinggi untuk meraih Piala Malaysia buat kali ke-33.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud