ARTIKEL SEBELUM

28/12/15

DAP tunjuk sikap sebenar

SHAH ALAM - Tindakan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin yang mengecam kerajaan Malaysia kerana menafikan visa dua atlet Israel yang dijadual menyertai satu kejohanan di Langkawi telah mencerminkan sikap sebenar DAP dalam isu Palestin.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan Chong itu merupakan gambaran sikap sebenar DAP yang pro-Israel.

“Perlulah diingatkan tindakan ini bukanlah bermaksud mencampuradukkan politik ke dalam sukan namun ia hanyalah adalah pelaksanaan polisi terhadap hubungan diplomatik Malaysia-Israel yang telah diputuskan sekian lama.

“Boikot terhadap Israel sewajibnya berjalan bukan dalam isu sebegini sahaja namun dalam semua lapangan sebagai satu tekanan terhadap mereka yang terus menerus melakukan keganasan di bumi Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan sebuah portal telah menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan daripada mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf) di Langkawi, hari ini.

Selain visa, kerajaan Malaysia turut mengenakan beberapa sekatan ke atas peserta Israel tersebut, termasuklah sekatan ke atas penggunaan bendera Israel atau simbol serta larangan memainkan lagu kebangsaan Israel jika pasukan mereka memenangi pingat emas.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli juga mengingatkan DAP bahawa isu Palestin bukan isu politik dan peribadi sebaliknya ia melibatkan isu kemanusiaan.

“Tidak membenarkan atlet Israel daripada memasuki negara ini merupakan langkah tepat sebagai menyatakan kebersamaan dengan seluruh masyarakat dunia menentang keganasan Israel di bumi Palestin.

“Kerajaan Malaysia berhak menerima pujian dalam isu ini, dan langkah ini perlu diteruskan termasuklah menghentikan hubungan perdagangan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dengan rejim haram Israel,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli berkata lagi, kenyataan pemimpin DAP itu merupakan satu isyarat jelas untuk umat Islam di negara ini untuk bangkit secara besar-besaran menolak sepenuhnya parti ini dalam pilihan raya akan datang.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud