ARTIKEL SEBELUM

6/12/15

Anak meninggal, hospital disaman RM10 juta

Pasangan suami-isteri hari ini memfailkan saman RM10 juta terhadap dua hospital di Terengganu kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian anak perempuan mereka berusia empat tahun, dua tahun lepas.
Muhamad Sardi Saad, 39, dan isterinya Fadilah Abd Wahab, 45, dari Besut, Terengganu, memfailkan writ saman tersebut di Mahkamah Tinggi di Kota Baharu, melalui Tetuan Syukran Noordin Advocates & Solicitors.
Mengikut writ saman itu, plaintif yang merupakan pasangan guru mendakwa pada 5 Dis 2013, kira-kira pukul 9.30 pagi, mereka membawa anak mereka, Ulya Insyirah ke Unit Kecemasan Hospital Besut, Terengganu untuk menerima rawatan akibat muntah-muntah.
Mereka mendakwa, anaknya itu diberikan rawatan susulan dan juga dimasukkan air melalui tangannya sehingga berlaku komplikasi menyebabkan tangan dan badan kanak-kanak itu membengkak dan sembap.
Kanak-kanak itu kemudian tidak sedarkan diri kira-kira pukul 11 malam, dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada pukul 5 pagi keesokannya.
Ulya Insyirah disahkan meninggal dunia di HSNZ pada pukul 8.05 pagi 6 Dis 2013 berpunca daripada "Septicaemic with hypovoluemic shock" dan mangsa tidak dapat diselamatkan akibat pembengkakan dalaman yang serius oleh kemasukan air atau lebihan ubat rawatan.
Akibat kecuaian itu, kedua-dua plaintif menyatakan mereka telah mengalami tekanan mental serta emosi dan menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teladan berjumlah RM10 juta.
Plaintif menamakan Dr Shairazi Azizi Mohd Salleh, Dr Mohd Ruhaifi Yusuf, Dr Norzaherawati Aryani Md Tahir, Dr Hasmani Hamat, Dr Muhammad Solehuddin Ishak dan Pengarah Hospital Besut sebagai defendan pertama hingga keenam.
Kelima-lima defendan terbabit merupakan pegawai perubatan dan kesemua mereka bertugas di Hospital Besut.
Plaintif turut menamakan Dr Noor Ain Noor Afendi, Dr Sharifah Huda Engku Alwi, Datuk Dr Jimmy Lee Kok Foo, Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketujuh hingga ke-11.
Defendan ketujuh adalah pegawai perubatan manakala defendan kelapan dan kesembilan adalah pegawai perubatan/pakar pediaktrik yang bertugas di HSNZ.
Bercakap kepada pemberita, Fadilah berkata keputusan memfailkan saman berkenaan dibuat setelah beliau dan suami terpaksa menanggung kesedihan dan trauma dengan kehilangan anak kesayangan mereka.
"Kami berdua masih menerima rawatan terapi mental dan emosi dari Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat trauma dengan kejadian malang tersebut," katanya yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurung, Besut.
Beliau dan suaminya reda dengan kehilangan anak mereka dan berharap kejadian itu adalah yang terakhir dan tidak berlaku kepada orang lain.
Peguam Syukran Noordin berkata mahkamah menentapkan 17 Jan depan untuk sebutan kes itu.
- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud